SHAH ALAM – Bintang Harimau Malaya, Faisal Halim terus menunjukkan perkembangan positif apabila dijangka dibenarkan keluar hospital dalam masa dua minggu lagi.
Walau bagaimanapun, ketika ini pemain berusia 26 tahun itu masih dipantau oleh pakar dan keputusan mengenainya akan dibuat bergantung kepada keadaan selepas Faisal menjalani pembedahan keempat minggu depan.
Ahli Lembaga Pengarah Selangor FC, Datuk Seri Shahril Mokhtar berkata, setakat ini masih belum ada ketetapan dibuat dan pihak kelab menyerahkan perkara itu kepada kebijaksanaan pasukan perubatan yang merawatnya.
“Perkembangannya baik, tetapi saya serahkan kepada pihak doktor. Difahamkan keadaannya bertambah baik, tetapi ia mungkin akan ambil masa lama.
“Mungkin ada yang bertanya berapa lama lagi Faisal akan berada di hospital, saya rasa paling kurang dalam dua minggu lagi.
“Dia sudah dipindahkan ke wad biasa, tetapi masih dalam pemerhatian rapi. Jadi buat masa ini lawatan tidak dibenarkan,” katanya.
Pemain kelahiran Pulau Pinang itu selesai menjalani tiga pembedahan termasuk menggunakan kaedah ‘skin allograft’ bernilai RM30,000 untuk mempercepatkan proses rawatan.
Sebelum ini, Shahril mendedahkan barisan doktor yang merawat Faisal atau Mickey gembira dengan perkembangan tersebut dan menyifatkan pemain itu istimewa kerana mempunyai semangat tinggi. – KOSMO! ONLINE