ISKANDAR PUTERI – Atlet kayak kebangsaan, Siti Nurul Masyitah Md. Elias masih ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) sebuah hospital swasta di sini selepas menjalani pembedahan tulang pelvis dan bahu kanan.
Perkembangan terkini gadis berusia 22 tahun itu dimaklumkan abangnya, Muhammad Syafiq, 29, ketika ditemui di hospital tersebut hari ini.
Menurut pemuda itu, adiknya perempuannya itu selamat menjalani pembedahan dan dilaporkan berada dalam keadaan stabil.
“Buat masa ini, doktor yang merawatnya memaklumkan Masyitah selamat menjalani pembedahan tulang pelvis dan tulang bahu yang patah.
“Cuma bahagian luka besar di bahu kiri dan pinggang belum dilakukan kerana perbincangan bersama pakar masih belum dibuat. Dia dijangka menjalani pembedahan plastik selepas ini,” katanya ketika ditemui di hospital hari ini.
Terdahulu, akhbar melaporkan pelajar semester enam jurusan Diploma Kejuruteraan Mekanikal Pembuatan itu terbabit kemalangan di Lebuh Raya Penyuraian Trafik Timur (EDL), Sabtu lalu.
Kemalangan itu berlaku selepas anak kelima daripada lapan beradik itu dirempuh pemandu mabuk dan diseret sejauh kira-kira 100 meter.-KOSMO! ONLINE