PETALING JAYA – Penyanyi Aisha Retno diundang memeriahkan majlis resepsi pasangan selebriti popular Indonesia, Mahalini dan Rizky Febian di Jakarta Indonesia Jumaat lalu.
Ujar Aisha atau nama lengkapnya Sharifah Aisha Retno Sayed Sipulizam, 23, pengantin perempuan sendiri menghubunginya agar hadir memeriahkan majlis yang berlangsung di Hotel The Raffles.
“Sebenarnya memang ‘last minute’ Mahalini jemput saya minggu lepas. Dia kata datang lah, datang lah dia suruh nyanyi semua.
“Tentu saya nak sebab nak hargai dia dan saya juga peminat tegar dia. Selepas saya ‘turun’ Jakarta masa dekat resepsi, dia suruh saya nyanyi,” katanya menerusi perkongsian dalam TikTok.
Menerusi video dikongsikan, Aisha menyampaikan dendangan kesukaan penyanyi terbabit iaitu W.H.U.T sambil diiringi pemuzik.
“Katanya itu adalah lagu kegemaran Mahalini. Saya pun okey sahaja dendangan,” ujarnya lagi.
Selain kehadiran ramai selebriti, resepsi pasangan penyanyi popular itu turut dihadiri Presiden Joko Widodo atau Jokowi dan isterinya, Iriana.
Sebelum ini, Aisha pernah diundang sebagai penyanyi jemputan di konsert Mahalini Live in Kuala Lumpur di Zepp KL pada Januari lalu.
Terdahulu, Mahalini, 24, dan Rizky, 26, bernikah pada sebelah siang di Hotel Raffles Jakarta Selatan dan majlis persandingan mereka berlangsung di hotel sama malamnya. – KOSMO! ONLINE