PUTRAJAYA – Lima bekas penuntut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) berniat membunuh Pegawai Kadet Laut universiti itu, Zulfarhan Osman Zulkarnain manakala seorang lagi bersubahat melakukannya berdasarkan kecederaan teruk pada sebahagian besar badan mangsa.
Timbalan Pendakwa Raya K. Mangai berhujah di Mahkamah Rayuan hari ini, terdapat 90 kesan tekapan seterika wap pada 80 peratus bahagian badannya kecuali muka dan belakang tapak tangan manakala 29 kesan lecuran paling serius (darjah ketiga) turut dikesan pada tubuh Zulfarhan.
Hujah beliau, keterangan saksi pendakwaan ke-24 (SP24,) Ahmad Senabil Mohamad menyatakan, tubuh mangsa ditekap secara bergilir-gilir atas arahan perayu keenam, Abdoul Hakeem Mohd. Ali.
Selain itu, Mangai juga menyatakan, keterangan saksi pendakwaan keenam (SP6), Pakar Patologi Forensik, Hospital Serdang, Dr. Salmah Arshad menyatakan, kesan terbakar yang teruk itu mencukupi untuk meragut nyawa mangsa.
Pendakwaan memohon mahkamah mempertimbang keterangan pakar patologi itu yang menyatakan, kecederaan teruk yang dialami Zulfarhan, jika diberi rawatan dan penjagaan yang betul sekalipun, tidak memungkinkan mangsa diselamatkan.
Sehubungan itu, pihak pendakwaan menghujahkan Mahkamah Tinggi terkhilaf ketika mensabit mereka di bawah Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian Zulfarhan tanpa niat.
“Pihak pendakwaan sebaliknya mahukan Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan ini dan mensabitkan mereka di bawah Seksyen 302 atas pertuduhan membunuh dengan niat serta menjatuhkan hukuman mati,” ujar Mangai.
Mahkamah sedang mendengar rayuan pendakwaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang mengubah sabitan di bawah Seksyen 304(a) dan menjatuhkan hukuman penjara 18 tahun terhadap keenam-enamnya.
Selain Abdoul Hakeem, lima yang lain ialah Muhammad Akmal Zuhairi Azmal, Muhammad Azamuddin Mad Sofi, Muhammad Najib Mohd. Razi, Muhammad Afif Najmudin Azahat dan Mohamad Shobirin Sabri. Kesemuanya berusia 28 tahun.
Kesalahan menyebabkan kematian Zulfarhan, 21, tanpa niat dilakukan di sebuah bilik di blok penginapan Asrama Jebat, UPNM antara pukul 4.45 pagi dan pukul 5.45 pagi, 22 Mei 2017.
Perbicaraan di hadapan panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Hadhariah Syed Ismail yang bersidang bersama-sama Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Azmi Ariffin bersambung esok. – KOSMO! ONLINE