SACRAMENTO, CALIFORNIA – Tiga orang terbunuh, manakala tiga lagi cedera selepas sebuah kereta Tesla yang dinaiki mereka merempuh tiang elektrik dan bangunan di selatan California, lapor akhbar New York Post semalam.
Pemandu Model 3 keluaran tahun 2013 itu difahamkan memandu pada kelajuan 100 kilometer sejam ketika kejadian.
Stesen penyiaran KTLA melaporkan, rakaman pengawasan menunjukkan detik kenderaan itu melanggar lampu isyarat merah di Foothill Boulevard, bandar Pasadena pada pagi Sabtu lalu, sebelum pemandunya hilang kawalan dan melanggar bahu jalan.
Kenderaan itu terbabas dan merempuh tiang elektrik hingga mengenai sebuah bangunan yang terletak lebih 30 meter. Semua mangsa tercampak keluar dari kereta.
“Seorang mangsa berada dalam keadaan kritikal, manakala dua lagi masih stabil,” kata pegawai polis.
Polis Pasadena menyatakan bahawa keempat-empat penumpang di bahagian belakang tidak memakai tali pinggang keledar semasa nahas berlaku.
Pihaknya juga menemui alkohol dalam kenderaan itu dan akan melakukan ujian toksikologi untuk menentukan sama ada pemandu berada di bawah pengaruh alkohol. – AGENSI