GEORGE TOWN – Tiga individu termasuk seorang penunggang motosikal parah dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Lebuh Raya Tun Dr. Lim Chong Eu, menghala ke pusat bandar di sini, malam tadi.
Mangsa terdiri penumpang wanita berusia 40-an yang menaiki kereta jenis Perodua Bezza, pemandu lelaki berusia 30-an yang memandu kereta jenis BMW serta penunggang motosikal jenis Modenas berumur dalam lingkungan 30-an.
Kenderaan lain yang terlibat adalah jenis Toyota Estima namun pemandunya dikatakan masih tidak dapat dikenalpasti namun keadaannya dilaporkan selamat.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri (JBPN) berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian berlaku pada pukul 11.35 malam tadi dan operasi tersebut melibatkan pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Perak.
Menurutnya, terdapat enam mangsa di lokasi kejadian dan seorang daripadanya iaitu pemandu kereta Perodua Bezza telah tersepit di ruangan pemandu dan berjaya dikeluarkan dengan menggunakan peralatan khas.
“Dalam kenderaan yang sama, terdapat dua lagi mangsa lelaki masing-masing berusia 20-an dan 60-an namun mereka hanya mengalami kecederaan ringan,” katanya kepada pemberita, sebentar tadi.
Terdahulu, tular satu rakaman video menerusi kamera papan pemuka (dashcam) kereta memaparkan sebuah kereta Toyota Estima, dari arah pusat bandar ke Jambatan Pulau Pinang dipercayai terbabas ke laluan bertentangan dan merempuh tiga kenderaan termasuk sebuah motosikal.
Keadaan jalan raya ketika itu dikatakan basah akibat hujan. – KOSMO! ONLINE