fbpx

UUM universiti awam nombor satu di Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

SINTOK – Universiti Utara Malaysia (UUM) diiktiraf sebagai universiti ke-71 terbaik dunia bagi kategori di bawah usia 50 tahun oleh Times Higher Education (THE) Young University Rankings 2024 yang diumumkan, hari ini.

Pengumuman itu menjadikan kedudukan UUM yang berada di tangga 95 terbaik dunia pada tahun lalu meningkat 24 anak tangga.

Pengiktirafan tersebut sekali gus meletakkan UUM sebagai universiti awam nombor satu terbaik di negara ini berdasarkan penarafan itu.

Naib Canselor UUM, Prof. Dr. Mohd Foad Sakdan mengucapkan terima kasih kepada semua warga universiti yang bertungkus-lumus bekerja untuk meletakkan UUM sentiasa dikenali di peringkat nasional dan antarabangsa.

Kata beliau, ia bukan perkara mudah kerana universiti perlu bersaing hebat dengan universiti terkemuka lain untuk berada di kedudukan 100 teratas.

“Sempena usia UUM 40 tahun, keputusan ini telah menunjukkan UUM terus unggul di persada antarabangsa, khususnya dalam bidang pengurusan, perniagaan dan perakaunan serta sains sosial.

“Kedudukan UUM melonjak 24 anak tangga untuk berada di kedudukan ke-71 terbaik dunia didorong oleh indikator kualiti penyelidikan, selain mengekalkan markah tinggi untuk kategori pengajaran dan persekitaran penyelidikan,” katanya, di sini hari ini.

Menurutnya, pencapaian itu juga secara tidak langsung meletakkan imej dan nama UUM sebaris dengan universiti ternama dunia yang telah mencipta rekod tersendiri.

The Young University Rankings 2024 menggunakan 17 indikator dalam lima kategori iaitu pengajaran (29.5 peratus), kualiti penyelidikan (30 peratus), persekitaran penyelidikan (29 peratus), pandangan antarabangsa (7.5 peratus) dan pendapatan industri (4 peratus).

The Young University Rankings 2024 yang dikeluarkan secara tahunan menyaksikan lebih 673 universiti seluruh dunia yang disenaraikan bagi penarafan 2024. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI