KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bersama dua yang lain, berjaya dalam permohonan mereka membatalkan saman difailkan Tan Sri Halim Saad, berhubung dakwaan tokoh korporat itu mengalami kerugian selepas diarahkan kerajaan menjual saham miliknya dalam Renong Bhd. kira-kira 23 tahun lalu.
Pesuruhjaya Kehakiman Dr. Suzana Muhamad membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan ketiga-tiga pemohon membatalkan saman itu selain mendapati satu lagi kes saman difailkan Halim sebelum ini terhadap Khazanah Nasional Berhad, Nor Mohamed dan kerajaan pada tahun 2013, membabitkan isu sama, sudah diputuskan mahkamah.
Kata Suzana, oleh itu apa sahaja isu yang ada, prinsip res judicata (prinsip bahawa kausa tindakan tidak boleh dikemukakan semula antara pihak sama apabila ia sudah dinilai berdasarkan merit) dan alasan tempoh had masa adalah terpakai.
“Ada sebab mengapa ada batasan (dalam had masa). Ia adalah untuk menghentikan sebarang kausa tindakan yang tidak perlu, terutamanya selepas melepasi tempoh masa.
Bagi saya, peristiwa ini adalah pada tahun 2001 dan sudah lebih daripada 20 tahun,” katanya yang turut memerintahkan Halim membayar kos sebanyak RM10,000.
Sebelum ini, ketiga-tiga pihak itu selaku defendan memohon perintah supaya writ dan pernyataan tuntutan Halim sebagai plaintif dibatalkan dengan kos mengikut Aturan 18 Kaedah 19(1)(b) dan (d) Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012.
Alasan yang diberikan ialah tuntutan saman terbabit adalah remeh, menyusahkan dan satu penyalahgunaan proses mahkamah.
Dalam prosiding itu, ketiga-tiga pemohon diwakili Peguam Kanan Persekutuan, Ahmad Hanir Hambaly, manakala peguam Datuk Malik Imtiaz Sarwar Surendra Ananth bertindak bagi pihak Halim selaku responden.
Saman itu difailkan Halim yang juga bekas Pengerusi Eksekutif dan Pengarah Renong terhadap Dr Mahathir; bekas Menteri Kewangan II, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop dan kerajaan pada 2 Ogos lalu. – KOSMO! ONLINE