BANGKOK – Seorang suami di Thailand menggigit telinga seorang lelaki lain selepas mendapat tahu mangsa menjalin hubungan sulit dengan isterinya sehingga wanita berkenaan hamil lapor portal berita Thaiger semalam.
Anggota polis dari balai Chon Buri dan petugas penyelamat tempatan dimaklumkan mengenai pergaduhan melibatkan dua kumpulan lelaki Thai di Pasar Hua Hin-Bang Sai, wilayah Chonburi pada Sabtu lepas.
Polis menemui lima lelaki yang cedera di lokasi kejadian termasuk seorang lelaki berusia 40 tahun bernama Sophon. Dia mengalami kecederaan paling serius antara mereka dengan sebahagian telinganya putus.
Sophon menerima rawatan kecemasan sebelum dimasukkan ke hospital tempatan, manakala keadaan terkininya belum diketahui.
Seperti dilaporkan oleh saluran televisyen Channel 7, pergaduhan itu melibatkan tiga lelaki Thai terhadap dua yang lain. Konfrontasi berpunca daripada hubungan sulit Sophon dan isteri salah seorang lelaki berkenaan.
Penyerang yang identitinya tidak didedahkan itu mendapat tahun bahawa Sophon meniduri isterinya sehingga mengandung. Dia mengaturkan pertemuan dengan Sophon di pasar berkenaan untuk menyelesaikan isu tersebut, namun situasi segera bertukar ganas.
Penyerang mengaku dia ditikam berulang kali menggunakan serpihan kaca oleh Sophon. Dia yang tidak dapat mempertahankan diri, bertindak menggigit telinga Sophon.
Sementara itu, polis belum memfailkan pendakwaan kerana mahu menyoal siasat semua pihak terlibat termasuk wanita yang mengandung. – AGENSI