fbpx

Sasar 500 Rukun Tetangga Progresif menjelang tahun depan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Aaron Ago (empat kanan) melancarkan buku Pelan Tindakan Pemerkasaan Rukun Tetangga sebagai Penggerak Komuniti Progresif pada majlis tersebut di Dewan Sri Jugra, Banting. Foto oleh AFIQ RAZALI

KUALA LANGAT – Kementerian Perpaduan Negara menyasarkan 500 Rukun Tetangga (RT) Progresif pada tahun depan dalam memacu kecemerlangan khidmat dan kerja masyarakat di seluruh negara.

Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, RT telah melalui evolusinya sejak ditubuhkan pada 29 Ogos 1975 bermula daripada konsep keselamatan, kejiranan dan kini adalah aspek pemerkasaannya yang menumpukan kepada lapan bidang tumpuan utama.

Menurutnya, ini termasuk dalam ekonomi sara hidup, keselamatan dan ketahanan komuniti, kepimpinan, kesejahteraan komuniti, pembelajaran sepanjang hayat, alam sekitar selain warisan dan budaya serta daya cipta yang kesemuanya menjurus kepada perpaduan dan keharmonian.

“Kita mulakan dengan 116 buah RT yang dipilih disebabkan aktif serta mempunyai kekuatan dari segi tanah, tenaga dan kemahiran seterusnya mampu menjadi model kepada RT lain di negara ini.

“Kita mempunyai jentera iaitu lebih 8,000 Kawasan Rukun Tetangga (KRT) di seluruh negara. Jadi, adalah wajar kita mengaktifkan mereka daripada pelbagai segi. Kita mulakan fasa pertama dengan 116 RT dulu dengan sasaran tahun depan sebanyak 500 RT,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

Terdahulu, beliau meluncurkan inisiatif pemerkasaan RT sebagai pengerak komuniti progresif termasuk buku Pelan Tindakan berkaitannya selain melawat reruai beberapa RT di Dewan Sri Jugra, Banting di sini.

Aaron Ago menjelaskan, kementerian memperoleh peruntukkan sebanyak RM20 juta melalui Belanjawan 2024 dengan salah satu bagi memperkasakan RT Progresif ini.

Ujarnya, kementerian menerusi Jabatan perpaduan negara dan integrasi Nasional (JPNIN) akan menjadi penasihat dalam memastikan kejayaan projek ini.

“Sasaran keuntungan adalah bergantung kepada usaha RT sendiri dengan dipantau kementerian sendiri.

“Kita juga menggunakan pendekatan kerjasama semua kementerian dan banyak sekarang ini program kerajaan menjurus kepada meningkatkan pendapatan isu rumah. Sekiranya berjaya, sudah pastinya saya akan membawa kertas cadangan bagi memohon peruntukkan lebih besar,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI