fbpx

PM adakan lawatan ke 3 negara Asia Tengah bermula esok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar.

PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan lawatan rasmi ke tiga negara Asia Tengah iaitu Kyrgyzstan, Kazakhstan dan Uzbekistan bermula esok hingga 19 Mei ini selepas menamatkan lawatan di Qatar.

Kementerian Luar (KLN) dalam kenyataan berkata, lawatan rasmi itu merupakan jemputan Presiden Republik Kyrgyz, Sadyr Japarov, Presiden Kazakhtan, Kasym-Jomart Tokayev dan Presiden Uzbekistan, Shavkat Mirziyoyev.

KLN memaklumkan, di Kyrgyzstan, Anwar akan disambut dengan majlis sambutan rasmi negara sebelum bertemu rakan sejawatnya bagi membincangkan isu dua hala, serantau dan antarabangsa yang menjadi perhatian kedua-dua negara.

“Anwar juga akan melawat pameran kraf dan barangan masyarakat orang pribumi di Taman Negara Ala Archa di negara itu.

“Jumlah perdagangan Malaysia – Kyrgyzstan mencatatkan jumlah RM162.3 juta (AS$36.35 juta) pada tahun lalu iaitu peningkatan 312.6 peratus berbanding 2022.

“Malaysia mengeksport barangan bernilai RM161.1 juta (AS$36.09 juta) ke negara itu pada 2023, dan mengimport barangan elektrik dan elektronik, serta produk kimia bernilai RM1.22 juta (AS$0.27 juta),” katanya tadi.

KLN berkata, di Kazakhstan, Anwar dijangka mengadakan mesyuarat Meja Bulat Pelaburan Kazakhstan-Malaysia dengan industri-industri negara berkenaan.

Pada masa sama, Anwar akan bertemu Presiden Kazakhstan untuk membincangkan perkara-perkara berkepentingan bersama dan bertukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa.

“Jumlah dagangan Malaysia dengan Kazakhstan pada 2023 berjumlah RM474.5 juta (AS$104.2 juta), dengan nilai eksport barangan Malaysia ke negara itu sebanyak RM465.6 juta (AS$102.2 juta), dan nilai import dari Kazakhstan sebanyak RM8.9 juta (AS$1.9 juta),” ujarnya.

Perdana Menteri kemudiannya, dijadualkan ke Uzbekistan bertemu Shavkat Mirziyoyev untuk mesyuarat dua hala bagi membincangkan hubungan antara Malaysia dan Uzbekistan serta bidang kerjasama yang berpotensi.

KLN berkata, Anwar juga bakal melawat Kompleks Imam Hazrati, di mana manuskrip asal Mashaf Uthmani yang tertua di dunia disimpan dan dipamerkan.

“Dari Tashkent, Anwar akan ke Samarkand pada 18 Mei ini yang mana beliau dijangka berucap di Forum Perniagaan Peringkat Tertinggi Uzbekistan-Malaysia yang diadakan di Kompleks Pelancongan Laluan Sutera, Samarkand.

“Forum yang dihoskan oleh Uzbekistan itu akan turut dihadiri Perdana Menteri, Abdulla Nigmatovich Aripov,” katanya.

Pada 2023, jumlah perdagangan Malaysia-Uzbekistan mencapai RM451.1 juta (AS$94.03 juta), dengan eksport ke Uzbekistan berjumlah RM449 juta (AS$93.6 juta) dan import berjumlah RM1.99 juta (USD414,518),” katanya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI