fbpx

Penubuhan Fakulti AI, bukti Malaysia sudah bersedia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anwar dan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd. Kadir melakukan gimik perasmian MY AI Nexus 2024 di Kuala Lumpur baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Penubuhan Fakulti Kecerdasan Buatan (AI) pertama Malaysia pada Jumaat lalu oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim membuktikan negara sudah bersedia secara menyeluruh untuk meneroka dan memperkasakan teknologi terbaharu itu.

Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) Prof. Dr. Azlinda Azman berkata, teknologi AI ini sebenarnya sudah lama disediakan terutamanya dalam cabang sains komputer, elektrikal dan disokong pula oleh beberapa subjek terutamanya Matematik, Sains serta Fizik.

“Tugas kami adalah untuk gabungkan semua cabang ini dengan penganjuran seperti Pameran Malaysia Artificial Intelligence Nexus 2024 (MY AI Nexus 2024) dan penubuhan Konsortium AI Malaysia (MAIC) untuk bergerak secara bersama bagi mengukuhkan teknologi itu.

“Sebagai contoh, jika dilihat kepada robot hanya berkenaan robotik sahaja, jadi jika digabungkan seperti sains komputer, elektrikal dan semua cabang ini untuk kerja bersama dan kita boleh lihat hasilnya.

Dr. Azlinda

“Penganjuran seperti Malaysia Artificial Intelligence Nexus 2024 telah menunjukkan kita sebenarnya sudah bersedia,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Tambah Azlinda, pihak kementerian dan JPT juga yakin dengan kemampuan semua universiti tempatan seperti dalam pameran kali ini sebanyak 16 produk berasaskan AI telah dipamerkan secara fizikal, malah terdapat 87 penyelidik turut mempamerkan produk berbentuk AI mereka dalam bentuk video.

“Secara ringkasnya saya ingin maklumkan, universiti, politeknik, kolej-kolej komuniti bersama IPTS sememangnya sudah bersedia dan berada dalam keadaan baik untuk mencipta teknologi tempatan dalam bidang AI ini.

“Seharusnya di Malaysia ini bukan menfokuskan kepada penggunaan AI sahaja tetapi kita harus ke arah mencipta teknologi AI itu sendiri kalau kita ingin bergerak ke hadapan. Kita ada dan pegang bakat-bakat muda, jadi kita perlu terus tekankan teknologi ini,” jelasnya.

Dalam pada itu, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang menjadi universiti pertama di negara ini menubuhkan Fakulti AI, optimis berupaya memperkasa teknologi AI dengan keupayaan kepakaran sedia ada sekali gus melahirkan tenaga kerja mahir.

Ahmad Fauzi ketika ditemu bual media selepas pameran MY AI Nexus 2024.

Naib Canselor UTM, Profesor Datuk Ahmad Fauzi Ismail berkata, bagi memastikan teknologi AI dipacu lebih pantas sekali gus membolehkan Malaysia bersaing dengan negara maju, inisiatif kerjasama dengan institusi akademik lain dikenali sebagai Konsortium AI Malaysia (MAIC) turut diperkenal.

“Fakulti AI UTM telah dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bertujuan melatih bakat AI dengan pengetahuan, kemahiran dan kompetensi dalam bidang AI dan robotik dengan fokus untuk menarik pelabur dan industri tempatan.

“Kurikulum yang dibangunkan selaras dengan keperluan industri melibatkan pakar-pakar dalam bidang AI.

“Bagi memacu AI lebih pantas, kita cadangkan kepada kementerian untuk mengadakan MAIC, maknanya bekerjasama dengan universiti lain yang pakar dalam bidang masing-masing, sebagai contoh Universiti Putra Malaysia dalam bidang pertanian, begitu juga dengan bidang perubatan, kita kenal pasti universiti mana yang pakar,” katanya.

Beliau berkata, MAIC menekankan projek penyelidikan bersama, perkongsian data, repositori kod, bengkel, seminar dan inisiatif pendidikan sambil menitikberatkan amalan etika AI seperti keadilan, ketelusan, perlindungan privasi serta akauntabiliti.

Anwar dan Zambry (tiga dari kiri) mendengar penerangan ketika melawat salah satu reruai bersempena pameran MY AI Nexus 2024.

“Objektif strategik utamanya adalah menyatukan ekosistem AI Malaysia, memupuk inovasi, mempromosikan pembangunan dan pelaksanaan teknologi AI yang bertanggungjawab,” ujarnya.

Tambah Ahmad Fauzi, Program Ijazah Sarjana Muda AI yang mendapat kelulusan Jawatankuasa Pendidikan Tinggi pada Januari lepas itu akan dimulakan dengan kohort pertama pelajar Oktober nanti.

Katanya, tempoh program akademik Ijazah Sarjana Muda AI adalah selama tiga tahun dan mempunyai tiga semester setahun serta 121 kredit untuk pelajar bergraduan.

“Strategi program akademik adalah Industry-Infused iaitu penglibatan industri yang lebih jelas dalam memastikan relevansi program dengan keperluan industri bagi melahirkan tenaga kerja berkualiti dalam bidang AI dan pelbagai bidang yang mengaplikasikan AI seperti pertahanan, pendidikan dan kesihatan.

“Kita jangka pengambilan pertama sekitar 120 orang Oktober ini, namun sekiranya permintaan tinggi, kita akan rujuk kepada kementerian untuk menambah kuota pengambilan,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI