BALING – Pemuda yang ditemui mati lemas di Air Terjun Lata Bayu, di sini, semalam sempat memberitahu ibunya dia gembira dapat melangsaikan semua hutang dengan rakannya sebelum kejadian.
Menurut Halimah Salleh, 47, anak sulung daripada tiga beradik itu, Muhammad Luqman Zuraidi, 27, juga ada meninggalkan pesan kepadanya supaya menyimpan sebahagian wang diperoleh arwah yang melakukan kerja-kerja kampung.
“Sebelum kejadian, arwah minta saya simpan sebahagian duit hasil kerjanya itu untuk digunakan bila perlu. Akhirnya duit itu digunakan untuk urusan pengebumian arwah,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Bakong Asam Jawa, di sini hari ini.
Katanya, arwah juga ada menghantar satu pesanan menerusi aplikasi WhatsApp kepadanya pada Sabtu lalu yang menjadi tanda tanya.
“SMS itu berbunyi ‘tak dak dah, tak dak dah’. Saya tidak tahu apa yang dimaksudkan arwah dan jawab pesanan itu dengan bertanyakan kenapa dia cakap seperti itu.
“Namun dia tidak membalas pesanan itu. Entahlah, mungkin ia salah satu petanda dia akan pergi buat selama-lamanya,” ujarnya.
Sementara itu, bapa arwah, Zuraidi Yaacob, 56, berkata, anaknya itu minat memancing dan sering bersama rakan-rakannya memancing ikan di lata itu yang terletak kira-kira lima kilometer dari rumah. – KOSMO! ONLINE