fbpx

Malaysia perlu capai 80 peratus SSL beras atasi kekurangan bekalan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MOHAMAD ketika ditemui pemberita di Konvensyen Pengembangan Veterinar dan Hari Inovasi 2024 di Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, hari ini.

SERDANG – Malaysia berpotensi terus berhadapan dengan isu ketiadaan bekalan beras tempatan jika negara gagal mencapai 80 peratus kadar sara diri (SSL) beras.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, hal tersebut kerana negara pengeluar ada hak untuk menghentikan eksport bekalan mereka.

“Adakah kita nak henti usaha tanaman di Malaysia? Saya kata teruskan kerana hak negara pengeluar untuk henti atau teruskan eksport.

“Kita kena bersedia. Sebagai contoh, bawang sekurang-kurangnya kita kena ada 30 peratus SSL menjelang 2030. Beras pun begitu.

“Hak mereka (negara pengeluar) sebab mereka pun nak mengutamakan kepentingan rakyat mereka,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Pengembangan Veterinar dan Hari Inovasi 2024, di sini hari ini.

Mohamad berkata, rungutan berhubung ketiadaan bekalan beras tempatan di Malaysia bagaimanapun telah berkurangan berbanding sebelum ini.

Menurut beliau, sebanyak 140,000 tan stok padi dan beras yang diarah untuk diproses sudah berada dalam pasaran meskipun masih berlaku sedikit kelompangan.

Kata beliau, Kawal Selia Padi dan Beras serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sentiasa memerhati dan bertindak untuk menanganinya.

Sementara itu, beliau berkata, inovasi SSL dalam bidang ruminan seperti mana yang digariskan pihak berwajib juga penting dalam memastikan bekalan mencukupi.

Ujar beliau, bekalan daging di Malaysia masih bergantung kepada import termasuk dari Australia, New Zealand dan India.

Sehubungan itu, katanya, kerjasama semua pihak termasuk kerajaan negeri amat penting dalam usaha meningkatkan SSL bagi semua sektor.

“Sektor ternakan ini perlu kepada tanah yang agak luas, maka perlu kerjasama khasnya kerajaan negeri,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI