PETALING JAYA – Jumlah kediaman yang telah siap dibina di negara ini dan tidak dapat jual telah meningkat lebih 100 peratus dalam tempoh 10 tahun lalu.
Ia melibatkan sebanyak 25,816 unit tahun lalu berbanding 12,551 unit pada 2013.
Pengarah Kajian dan Pendidikan Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Malaysia (REHDA), Malathi Thevendran berkata, sebanyak 7,592 unit daripadanya adalah kediaman berharga RM300,000 dan ke bawah.
Menurut beliau, terdapat 433,136 isi rumah dengan pendapatan bawah RM2,000 (lima peratus daripada 8.66 juta isi rumah di negara ini).
Pada tahun 2022, jumlah rumah siap di bawah inisiatif perumahan utama kerajaan (Program Perumahan Rakyat, Rumah Mesra Rakyat, Kediaman Syarikat Perumahan Negara Berhad dan PR1MA) berjumlah 212,328 unit.
“Ini memenuhi 50 peratus daripada keperluan isi rumah dengan pendapatan RM2,000 ke bawah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan laporan Rumah Mampu Milik II, Merapatkan Jurang: Pendekatan Strategik Mengimbangi Bekalan & Permintaan oleh REHDA Institute di sini semalam.
Sementara itu, Malathi menerangkan, jumlah bajet untuk perumahan awam dari 2013 hingga 2023 adalah sebanyak RM12.7 bilion, melibatkan 1,033,949 unit kediaman,
Selain itu, Pengerusi REHDA Institute, Datuk Jeffrey Ng Tiong Lip menyarankan agar kerajaan memperluaskan penyediaan kediaman sewa khusus buat golongan berpendapatan rendah yang berdepan kesukaran memiliki rumah sendiri pada tahap pendapatan semasa.
Menurut beliau, model sewa seperti yang diamalkan di Australia dilihat lebih lestari menuju ke hadapan.
Jelasnya, ia dapat dilihat pada mana-mana penghuni yang telah berjaya mencapai tahap pendapatan tertentu maka mereka sepatutnya berpindah keluar daripada rumah tersebut dan memberi peluang kepada orang lain yang lebih memerlukan.
“Ini berbanding penyediaan rumah kos rendah bersubsidi yang sifatnya lebih terhad dan memerlukan pembinaan berterusan untuk dijual kepada pemilik-pemilik baharu.
“Tanah merupakan sumber yang terhad.
“Sekiranya industri terus perlu membina rumah mampu milik dan bersubsidi untuk rakyat, maka akan sentiasa wujud tekanan bagi pihak pemaju untuk membina lebih banyak rumah sedemikian pada masa depan.
“Sehubungan itu, kita perlu melihat kepada model yang lebih lestari berbanding cuba menjual rumah mampu milik kepada golongan yang tidak mampu membeli,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE