PETALING JAYA – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengingatkan para pencarum untuk tidak mendedahkan atau berkongsi tangkap layar baki akaun simpanan mereka di platform media sosial.
KWSP menerusi hantaran di Instagramnya baru-baru ini berkata, tindakan tersebut hanya akan mengundang padah selain pencarum terdedah kepada ancaman ‘scammer’
“Hati-hati. Jangan kongsi baki akaun KWSP anda kepada umum, scammer sedang memerhati. Jangan jadi mangsa scammer,” pesan KWSP.
Semalam, Kosmo! melaporkan segelintir pencarum dilihat berkongsi simpanan caruman KWSP mereka susulan penstrukturan semula akaun yang diumumkan, baru-baru ini.
Tinjauan di beberapa platform media sosial mendapati, ramai pengguna tidak segan berkongsi caruman mereka kepada umum terutamanya pencarum yang mempunyai jumlah simpanan tinggi.
Di aplikasi X, seorang pengguna menarik tumpuan netizen apabila berkongsi jumlah caruman KWSP mencecah RM500,000. – KOSMO! ONLINE