KATA orang, sebelum mahu membantu yang jauh-jauh, ada baiknya ‘tengok’ dahulu yang dekat-dekat.
Nampaknya itulah yang dilakukan oleh pasangan suami isteri yang merupakan pengasas sebuah syarikat pengeluar tudung apabila memilih untuk menyumbangkan bakti kepada kampung kelahiran mereka sendiri, Kuala Krau di Temerloh, Pahang.
Dalam usaha membantu komuniti yang memerlukan sambil meringankan beban, syarikat pengeluar tudung ternama, Kekaboo Sdn. Bhd. (Kekaboo). tampil memulakan bantuan dengan menginfak sebanyak 5,000 kampit beras kepada penduduk kampung mereka.
Pengasas bersama syarikat, Nur Hazwani Abdul Zainal berkata, program infaq beras di bawah kendalian Kekaboo Kaseh Charity itu merupakan yang pertama dilaksanakan mereka.
Syarikat telah memilih pekan Kuala Krau yang merupakan tempat kelahiran kedua-dua mereka sekali gus mahu berbakti kepada penduduk setempat.
Bagaikan satu kepuasan apabila dapat dahulukan komuniti sendiri.
“Alhamdulillah akhirnya apa yang dirancang sekian lama dapat dilunaskan. Kalau ikut perancangan asal, kami mahu infaq 10,000 kampit, tetapi akhirnya menetapkan 5,000 kampit sebagai percubaan dan permulaan.
“Syukur ke hadrat Ilahi, tidak sampai sejam program bermula, beras berisi lima kilogram bagi setiap kampit selesai diagihkan kepada seluruh penduduk dan kampung berdekatan di daerah Temerloh,” katanya.
Jelas Nur Hazwani, pada awalnya dia dan pasukan gusar andai kata tiada sambutan daripada penduduk memandangkan program diadakan pada hari bekerja bukan hujung minggu.
Justeru, melihat kepada sambutan positif, syarikat merancang untuk menjadikan program infaq beras itu sebagai program tahunan wajib.
“InsyaAllah jika tiada aral melintang, program seperti ini akan diteruskan dari semasa ke semasa dan disasarkan kepada lebih banyak daerah dan bukan setakat di negeri Pahang.
“Kekaboo Kaseh Charity yang ditubuhkan sejak sedekad lalu giat dan aktif menyalurkan sumbangan setiap minggu dalam apa jua bentuk.
“Namun, bagi infaq makanan ruji seperti beras, ini kali pertama diadakan.
“Ini juga sebagai tanda sokongan tidak berbelah bahagi mereka kepada kami selama ini dan kami pulangkan semula dengan cara ini,” katanya.
Dalam pada itu, pengasas merangkap Ketua Pegawai Eksklusif (CEO) Kekaboo, Tajuddin Nor berkata, Kekaboo Kaseh Charity tetap akan terus menyumbang dan menyalurkan bantuan kepada komuniti sebagai salah satu tanggungjawab sosial korporat syarikat.
Katanya, sebelum ini syarikat juga pernah menyalurkan bantuan kepada Tabung Palestin dan Gaza yang merupakan sumbangan terbesar syarikat pada 2021.
“Sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kami juga aktif menyalurkan bantuan dalam pelbagai bentuk tidak hanya wang tunai, tetapi barangan keperluan dan kotak makanan (food box).
“Bantuan banjir dan bantuan wajib setiap hari Jumaat juga kita lakukan, namun kami mengambil pendekatan untuk tidak dihebahkan di media sosial atau media massa,” ujarnya.