SUNGAI PETANI – Tindakan licik dua individu yang memalsukan resit bayaran satu sen untuk membeli barangan di pasar malam berharga RM54 terbongkar apabila dicekup oleh beberapa peniaga di situ dalam kejadian di Sungai Petani, Kedah, baru-baru ini.
Menerusi perkongsian video TikTok di akaun peniaga @aryssaaddena, penipuan itu disedari selepas peniaga tersebut membuat semakan semula wang yang dipindahkan oleh salah seorang pelaku.
Berdasarkan video berdurasi 1.39 saat, pelaku wanita itu hanya membuat transaksi sebanyak satu sen bagi seutas jam tangan kemudiannya bertindak menyunting resit pembayaran tersebut.
“Nasib baik kantoi awal, mereka tak sempat nak scam dua lagi kedai jam sebab saya dah pergi sergah. Kalau terlepas tadi, tidur tak lena. Dengan niaga pun ‘down’ sekarang ini,” kata peniaga.
Bagaimanapun, peniaga mendakwa wanita itu telah melakukan helah yang sama untuk membeli sepasang kasut bernilai RM40 dan ingin mencuba helah yang sama di dua buah kedai jam namun tidak berjaya.
Penularan video itu mengundang reaksi kurang senang dan marah daripada pengguna TikTok dengan sikap wanita itu yang menipu dalam proses jual beli.
“Bawa pi balai ja, ni kalau lepas nanti buat lagi,” komen @akiemmx97.
“Bagus kasi ajar sikit orang macam ni, bukti dan panggil polis ja senang,” komen @fairusosman.
Selepas gagal mengemukakan resit bukti pembayaran, pelaku membuat pengakuan bahawa itu penipuan kali pertama yang dilakukannya selepas mendakwa rakannya beberapa kali berjaya menipu dengan cara tersebut.
Malah, ada antara warga TikTok juga berkongsi pengalaman mereka sebelumnya pernah menjadi mangsa helah penipuan wanita tersebut.
“Saya kena dah bulan puasa baru-baru ini. Perempuan tu beli ayam golek tiga ekor RM75,” komen @matmirza0. – KOSMO! ONLINE