fbpx

Geng Bala eksploitasi seks tumpas, 13 wanita diselamatkan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KUMAR (tengah) menunjukkan passport serta barang rampasan termasuk wang tunai dalam sidang akhbar di IPK Johor, Johor Bahru, hari ini. Foto BAZLAN IBRAHIM

JOHOR BAHRU – Polis menumpaskan sindiket pemerdagangan manusia bagi tujuan eksploitasi seks selepas lapan anggota Geng Bala termasuk dalangnya diberkas dalam lima serbuan di sekitar bandar raya ini dan Kulai..

Ketua Polis Johor, Komisioner M. Kumar berkata, dalam operasi bermula 21 April hingga 1 Mei lalu itu, pihaknya menyelamatkan seramai 13 wanita warga asing berusia 22 hingga 49 tahun.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati sindiket tersebut aktif melakukan aktiviti persundalan itu sejak November tahun lalu.

“Modus operandi sindiket adalah dengan menawarkan pekerjaan sebagai operator kilang dan pembantu rumah kepada mangsa melalui ejen di negara sumber.

“Mangsa kemudian diuruskan ejen pekerjaan termasuk tiket penerbangan dan pas lawatan untuk mangsa memasuki Malaysia.

“Apabila tiba di Malaysia, mangsa diberikan wang ‘show money’ sebelum dibawa ke rumah transit,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.

Kumar berkata, sekiranya kemasukan mangsa ditolak, mereka akan dibawa ke negara jiran kemudiannya masuk melalui jalan yang tidak diwartakan.

Ujarnya, sewaktu mangsa berada di rumah transit, pasport dan telefon bimbit akan dirampas ahli sindiket. Mangsa kemudian dimaklumkan bahawa tiada lagi tawaran pekerjaan sebagai pekerja kilang dan pembantu rumah.

“Sindiket beritahu yang ada hanya pekerjaan pelacur dan sekiranya mangsa enggan, mereka dikehendaki membayar ganti sebanyak RM11,000 sebagai kos perbelanjaan ke Malaysia.

“Mangsa terpaksa menjadi pelacur dan hasil siasatan mendapati mereka terpaksa melayan sehingga 35 pelanggan sehari dengan bayaran RM100 hingga RM200, manakala untuk semalaman sebanyak RM300,” katanya.

Kumar berkata, lapan ahli sindiket yang diberkas itu terdiri daripada empat warga tempatan termasuk ketua sindiket dan empat warga asing.

Polis turut merampas 13 buah telefon bimbit pelbagai jenama, 41 kondom, 24 keping pasport negara asing, wang tunai RM8,730, buku catatan aktiviti pelacuran dan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Proton Exora.

Semua mangsa kini ditempatkan di rumah perlindungan sementara manakala suspek telah dituduh di Mahkamah Sesyen dan Majistret Johor Bahru, hari ini.

Lima daripada lapan tertuduh didakwa atas 39 pertuduhan iaitu 13 Pertuduhan di bawah Seksyen 12 ATIPSOM 2007, 22 pertuduhan di bawah Seksyen 12(1)(f) Akta Passport 1966 dan empat pertuduhan di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI