PETALING JAYA – Keputusan hak penjagaan dan bayaran nafkah ke atas lima orang anak akan dibincangkan secara tertutup antara Datuk Red dengan bekas isteri, Sharifah Norshafila Hashim selepas mereka sah bercerai talak satu.
Red atau nama sebenarnya Adnan Abu, 46, melafazkan talak terhadap Sharifah Norshafila, 38, di hadapan Hakim Syarie, Mohd Nurulazhar Mohd Tohar di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Selangor pada hari ini.
Menurut peguam Adnan, Muhammad Akmal Amran, anak guamnya dan bekas isteri telah mencapai kata sepakat untuk membuat perbincangan tertutup soal jumlah bayaran nafkah dan hak penjagaan anak mereka secara baik.
“Mereka berdua telah bersetuju untuk berbincang mengenai nafkah dan penjagaan anak tanpa melibatkan mahkamah. Saya yakin keputusan perceraian hari ini dapat dibuat dengan cara baik, maka mereka juga boleh mendapatkan kata putus dengan cara yang baik.
“Disebabkan itu, pihak kami tidak menyatakan hal tersebut dalam dokumen yang dikemukakan pada hari ini,” katanya kepada Kosmo Online hari ini.
Dalam dokumen sama, Muhammad Akmal memberitahu, Sharifah bersetuju untuk tidak membuat tuntutan nafkah idah dan mutaah terhadap bekas suaminya.
Malah, Sharifah turut mengetahui keadaan bekas suami yang sudah diisytiharkan muflis dan memilih untuk mencari nafkah sendiri untuk anak-anak.
“Kita tahu dia sudah muflis. Saya tahu dia tidak sekejam itu terhadap kami, walaupun dia tidak mampu.
“Saya akan cari sendiri nafkah anak-anak.
“Saya tahu dia baik dan dia seorang yang bertanggungjawab. Hubungan kami selepas ini pun baik sahaja. Tiada masalah,” katanya dalam satu kenyataan video dalam media sosial.
Sebelum lafaz dibacakan, Adnan dan Sharifah atau dikenali sebagai Datin Red saling bersalaman dan bermaaf-maafan sebagai suami isteri buat kali terakhir.
Sharifah yang juga isteri pertama Adnan memfailkan cerai pada akhir Januari lalu.
Sementara itu, pada 24 April lalu, Adnan menceraikan isteri kedua iaitu penyanyi Adira.
Untuk info, Adnan dan Sharifah dikurniakan lima orang cahaya mata selepas berkahwin pada 2005. – KOSMO ONLINE