KUALA LUMPUR – Seorang lelaki mendakwa hilang ingatan seketika selepas kereta dipandunya ditimpa pokok tumbang dalam kejadian di Jalan Pinang, di sini, semalam.
Pemandu MPV Alphard, Md Monir Dewan berkata, selang beberapa minit dihempap pokok itu, beliau telah tersedar dan keluar daripada kenderaan untuk meminta bantuan.
“Dia jadi sekejap sahaja dalam dua saat, lepas pokok jatuh saya hilang ingatan sebab takut. Selepas itu saya tersedar baru keluar kereta,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian, semalam.
Md Monir berkata, tindakan undang-undang akan diambil sekiranya gagal mendapat pampasan kerosakan dialami kenderaannya akibat pokok tumbang itu.
“Sebab ada escort (pengiring polis) jadi saya berhentikan kenderaan, kalau dia tidak suruh berhenti mungkin saya tidak kena pokok tumbang.
“Masa jadi, saya dalam kereta sedang pandu. Jadi apa-apa yang berlaku sudah dirakam dalam kamera (kamera papan pemuka). Jika tiada pampasan saya akan buat laporan polis,” katanya.
Semalam, Kosmo! melaporkan kenderaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang bertindak sebagai ‘lead car’ konvoi Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh antara sembilan kenderaan yang terjejas dalam kejadian pokok tumbang di Jalan Pinang, di sini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3.26 petang itu, tiada sebarang kecederaan yang berlaku membabitkan pemandu dan penumpang.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, kenderaan yang rosak melibatkan empat buat kereta iaitu tiga kenderaan awam dan satu milik PDRM serta lima buah motosikal awam. – KOSMO! ONLINE.