PUTRAJAYA – Kerajaan setakat ini belum membincangkan mengenai calon sesuai bagi jawatan Yang Dipertua Dewan Negara susulan kematian mendiang Datuk Mutang Tagal, pada 10 Mei lalu.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, pelantikan itu terletak di bawah budi bicara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk diperkenan.
Beliau yang juga Ketua Whip Gabungan Parti Sarawak (GPS) berkata, buat masa ini, perkara itu belum dibincangkan diperingkat kerajaan.
“Parti atau dari negeri mana pun belum tahu lagi. Saya kena rujuk kepada Pengerusi GPS, Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan setakat ini belum berbincang lagi,” katanya ketika ditemui selepas Mesyuarat Majlis Sains Negara (NSC) pertama bagi tahun 2024, di sini hari ini.
Ditanya bila mesyuarat akan dilakukan bagi membincangkan jawatan itu, Fadillah berkata, beliau belum pasti akan perkara itu.
“Saya pun tak tahu lagi dan Perdana Menteri pun masih sibuk di Qatar (lawatan rasmi),” katanya. – KOSMO! ONLINE