BOCHUM – Pengendali Bayer Leverkusen, Xabi Alonso kini meluahkan keyakinan penuh bahawa anak-anak buahnya mampu melakar sejarah menjadi kelab pertama kekal tanpa tewas dalam kempen Bundesliga selepas menewaskan VfL Bochum 5-0 awal pagi semalam.
Pada aksi tersebut, Leverkusen tidak mempunyai masalah untuk melakar kemenangan ke-27 liga musim ini hasil jaringan Patrik Schick, Victor Boniface, Amine Adli, Josip Stanisic dan Alex Grimaldo.
Keputusan itu menyaksikan Leverkusen hampir meraih gelaran ‘invincibles’ ketika aksi Bundesliga berbaki satu perlawanan selain melebarkan rekod 50 perlawanan tanpa tewas pada semua kejohanan musim ini.
Menurut Alonso, pasukannya bernasib baik apabila Bochum terpaksa bermain dengan 10 orang selepas Felix Passlack diarahkan keluar padang seawal minit ke-15.
“Saya rasa selepas kad merah, segalanya menjadi mudah buat kami dan sudah tentu saya gembira dengan keputusan yang diraih oleh pasukan.
“Kemenangan ini cukup penting kerana ia menaikkan motivasi pasukan untuk mencipta sejarah yang tidak pernah dilakukan sebelum ini.
“Fokus sekarang adalah untuk mengharungi aksi terakhir liga menentang Augsburg pada Sabtu ini dengan keputusan positif sekali gus mengekalkan rekod tanpa kalah sepanjang musim.
“Saya juga berharap pemain dapat berikan seratus peratus pada perlawanan itu memandangkan kita bermain di laman sendiri dan akan menjulang trofi di hadapan penyokong setia nanti,” kata Alonso. – AGENSI