fbpx

Banjir kilat semakin mengancam, ratusan nyawa melayang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR pemandangan dari udara dirakam BNPB menunjukkan kawasan terjejas akibat banjir kilat di Tanah Datar, Sumatera Barat kelmarin. – AFP

BRASILIA – Beratus-ratus orang terkorban selepas banjir kilat melanda sebilangan negara dunia pada hujung minggu lalu, khususnya Brazil, Afghanistan dan Indonesia, lapor majalah Forbes.

Bencana alam terbaru itu menyusul selepas hujan lebat dan banjir meragut ratusan nyawa di Kenya, Tanzania, Dubai serta Oman sejak dua minggu lalu

Terbaru, sekurang-kurangnya 315 orang terbunuh dan 1,600 lagi cedera dalam kejadian banjir kilat yang melanda wilayah Baghlan di utara Afghanistan, demikian menurut agensi berita Reuters yang memetik kenyataan kerajaan Taliban.

Tabung Kecemasan Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) pula mengesahkan kelmarin bahawa sekurang-kurangnya 51 mangsa yang terkorban dalam bencana alam di Afghanistan itu adalah kanak-kanak.

Hujan lebat berterusan di Baghlan memusnahkan sekitar 3,000 kediaman penduduk, manakala 300 buah rumah musnah di wilayah berdekatan, Takhar dan Badakhshan.

Di wilayah Sumatera Barat, hujan lebat dan aliran lahar sejuk dari Gunung Marapi serta lumpur menyebabkan air di sebatang sungai utama melimpah dan menenggelamkan beberapa buah kampung dalam kelmarin dan hari sebelumnya.

“Hujan lebat membawa aliran seperti abu dan batu besar dari Gunung Marapi.

“Aliran lahar sejuk ini dan banjir kilat sentiasa menjadi ancaman kepada kami sejak kebelaka­ngan ini. Masalahnya, bencana ini sentiasa berlaku ketika penduduk sedang tidur pada waktu lewat malam hingga ke dini hari,” kata ketua pasukan penyelamat wilayah Sumatera Barat, Abdul Malik.

Sementara itu, Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) memaklumkan kepada agensi berita Associated Press (AP) bahawa seramai 37 orang terbunuh, manakala 17 yang lain hilang dalam bencana itu setakat semalam.

Di Amerika Selatan pula, banjir besar berterusan melanda ne­geri Brazil, Rio Grande do Sul di mana angka korban meningkat lebih 143 orang sehingga kelmarin, kata kerajaan persekutuan.

Banjir di Brazil yang bermula pada 29 April lepas turut menyebabkan lebih 500,000 penduduk negeri selatan Brazil itu hilang tempat tinggal, merangkumi 446 kawasan perbandaran, manakala kira-kira 81,285 orang berlindung di tempat-tempat per­lindungan sementara.

Banjir antara paling buruk itu bermula selepas ribut membawa hujan lebat ke rantau Amerika Selatan termasuk selatan Brazil dan kawasan sempadan negara itu dengan Uruguay.

Beratus-ratus bandar di selatan Brazil diteng­gelami air termasuk ibu negeri Rio Grande do Sul, Porto Alegre.

Dua minggu kemudian, ang­ka korban terus meningkat ketika kerajaan Brazil bergelut untuk menyalurkan bantuan dan membaik pulih kejiranan yang ditenggelami air.

Pada 2 Mei lepas, empangan hidroelektrik de Julho di Sungai Taquari runtuh dan menyebabkan situasi banjir di rantau ber­kenaan bertambah buruk dengan beribu-ribu penduduk terpaksa bergelap. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI