BANGKOK – Pasukan komando polis Thailand menahan seorang wanita atas dakwaan menyimbah asid pada suaminya kerana mangsa berlaku curang, lapor laman berita Thaiger hari ini.
Polis memberkas suspek semalam di wilayah Kanchanaburi atas tuduhan menyimbah asid dan melakukan serangan pisau.
Somjit Subsiri, 45, dilaporkan melakukan perbuatan itu pada 13 Ogos tahun lalu di sebuah rumah di Bangkok.
Menurut polis, ketika kejadian, pasangan suami isteri itu bertengkar selepas suspek mendapat tahu kecurangan mangsa.
Suspek bertindak menyimbah asid pada suaminya, menyebabkan badan mangsa melecur.
Namun, ketika lelaki berkenaan berlari ke tandas untuk membersihkan dirinya, suspek mengambil sebilah pisau dan menikam mangsa sebelum melarikan diri.
Mangsa dibawa ke hospital dan mengalami kecederaan parah, namun keadaannya stabil.
Kejadian itu lambat dilaporkan, manakala polis mengeluarkan waran tangkap terhadap wanita itu pada 16 Februari lalu. Hasil siasatan mendapati suspek telah melarikan diri ke wilayah Kanchanaburi.
Wanita itu akhirnya ditahan dan didakwa dengan tuduhan cubaan membunuh. Dia berdepan hukuman penjara seumur hidup atau 15 hingga 20 tahun. – AGENSI