PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diberikan penghormatan oleh Universiti Hamad bin Khalifa untuk menyampaikan syarahan umum berjudul Masa Depan Dunia Islam di Perpustakaan Negara Qatar.
Anwar dalam satu hantaran di Facebook berkata, ketika syarahan itu beliau menyentuh mengenai cabaran dan tribulasi dalam era pasca normal yang menuntut pemimpin dunia Islam menggembleng kudrat berhadapan isu Islamofobia, diskrminasi dan hipokrasi kuasa besar dunia.
“Umat Islam harus kekal waras dan kembali kepada akar kekuatan bertunjangkan budaya ilmu, akhlak, karamah insaniah serta ketakwaan mendasari ajaran Islam serta budaya ketimuran yang pernah saya ungkapkan dalam karya The Asian Renaissance.
“Pesan saya kepada akademia dan mahasiswa yang hadir agar terus istiqamah menjunjung nilai kemanusiaan dan ketulusan dalam merencana masa depan dunia Islam yang lebih cerah,” katanya, di sini hari ini.
Sementara itu, dalam hantaran berbeza, Anwar turut memaklumkan beliau menghadiri majlis makan malam dan sesi bicara bersama diaspora Malaysia di Qatar.
“Seperti biasa, saya sentuh pelbagai persoalan yang diajukan selain memberikan gambaran terkini terkait usaha Kerajaan Madani di tanah air.
“Pesan saya kepada rakyat Malaysia di Qatar mahu pun yang berada di negara-negara lain agar sentiasa menjaga imej dan nama baik negara,” katanya. – KOSMO! ONLINE