PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan meja bulat bersama pemimpin industri beberapa syarikat utama di Qatar dalam usaha menarik lebih ramai pelabur ke Malaysia.
Anwar dalam hantaran di Facebook berkata, pertemuan itu adalah sebahagian daripada usaha agresif Malaysia menerusi Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia (MITI) untuk menarik lebih banyak pelaburan berkualiti tinggi ke dalam negara.
“Menerusi pertemuan ini saya dapat memberi taklimat terkait iklim terkini pelaburan di Malaysia, sambil meyakinkan para pelabur bahawa negara boleh menjadi destinasi pelaburan pilihan dan rakan perdagangan yang kompetitif,” katanya dalam hantaran itu.
Katanya, antara syarikat yang terlibat dalam pertemuan itu adalah Estithmar Holding, Baladna, Taleb Group, Morex Group, Tamam Capital dan Al Mana Group.
“Semoga Malaysia muncul sebagai destinasi pelaburan berpotensi kepada pelabur dari Qatar serta negara-negara lain, Insya-Allah,” ujarnya.
Berdasarkan statistik, sejak Januari hingga Mac lepas, jumlah perdagangan Malaysia dengan Qatar meningkat 178.4 peratus kepada RM1.43 bilion (USD303.9 juta) berbanding RM514.9 juta (USD116.7 juta) untuk tempoh yang sama pada tahun lepas.
Pada tahun lepas, Qatar merupakan rakan dagangan kelima terbesar Malaysia, destinasi eksport keenam terbesar dan sumber import keenam terbesar dari rantau Asia Barat. – KOSMO! ONLINE