JOHOR BAHRU – Lima ahli Geng Bala termasuk empat warga India tidak mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas empat pertuduhan memperdagangkan enam wanita India, sejak Disember tahun lalu.
Tertuduh, S. Bala Muraly, 46, bersama dua lelaki warga India, Thiruneelakandan Kasinathan, 39, dan Sahayaraj Raju, 41, serta dua wanita India, Nithyarettamary Yesurajan, 39, dan Karpagavali Jeyakumar, 24, membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan dalam bahasa Tamil.
Kes dibicarakan secara berasingan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail dan Hakim Fatimah Zahari.
Mengikut kertas pertuduhan, semua tertuduh telah memperdagangkan enam wanita India berusia lingkungan 23 hingga 38 tahun bagi maksud eksploitasi seks dengan cara ancaman atau penggunaan kekerasan atau bentuk paksaan.
Perbuatan itu dilakukan di sebuah kondominium di Jalan Kempas Indah dan di sebuah hotel di Danga Bay, di sini, antara 24 Disember lalu hingga 24 April lalu.
Hakim Ahmad Kamal Arifin dan Hakim Fatimah membenarkan lelaki itu diikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin warga tempatan bagi setiap pertuduhan dengan syarat tambahan perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah, melapor diri di balai polis berhampiran.
Dalam pada itu, Hakim Fatimah dalam kamar kehakimannya turut membenarkan Sahayaraj Raju diikat jamin RM30,000 dengan seorang penjamin warga tempatan, perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melapor diri di balai polis berhampiran setiap dua minggu.
Mahkamah menetapkan 25 Jun depan sebagai sebutan semula kes bagi tujuan serahan dokumen dan lantikan peguam bagi tertuduh warga India berkenaan.
Terdahulu, Nithyarettamary dan Karpagavali mengaku bersalah di Mahkamah Majistret atas pertuduhan telah tinggal di negara ini setelah tamat tempoh pas yang dikeluarkan kepadanya tanpa sebab yang munasabah.
Karpagavali pula dijatuhi hukuman penjara selama lima bulan dari tarikh tangkapan pada 19 April lalu manakala Nithyarettamary diperintahkan membayar denda RM10,000, sekiranya gagal membayar akan dipenjarakan selama 12 bulan.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan sindiket pemerdagangan manusia untuk eksploitasi seks yang didalangi Geng Bala tumpas selepas lapan ahlinya termasuk dalangnya diberkas dalam lima serbuan dijalankan di Johor Bahru dan Kulai antara 21 April hingga 1 Mei lalu. – KOSMO! ONLINE