SHAH ALAM – Sebanyak 44 premis makanan di Selangor diarah tutup sepanjang Januari hingga April lalu.
Pengarah Kesihatan Selangor, Dr. Ummi Kalthom Shamsudin berkata, tindakan tersebut diambil disebabkan terdapat hurungan lipas, lalat dan tikus selain mendapat markah dimerit yang sangat rendah.
Katanya, pengesanan itu dilakukan menerusi Operasi Premis Makanan Bersih yang telah memeriksa 1,235 premis dalam tempoh tersebut.
“Kita juga mengeluarkan sebanyak 903 notis kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 dengan nilai tawaran kompaun sebanyak RM546,750 yang dikeluarkan kepada pemilik dan wakil premis dan pengendali makanan,” kata dalam kenyataan, hari ini.
Beliau turut memberitahu, berdasarkan Operasi Perayaan Tahun Baru Cina dan Operasi Perayaan Hari Raya Aidilfitri telah memeriksa 20,662 produk dan 1315 hamper makanan di 53 premis keseluruhannya.
Tegas Ummi Kalthom, sebanyak 216 produk makanan dikesan tamat tarikh luput manakala 136 lagi mempunyai bungkusan rosak seperti tin kemek, kembung dan bekas yang rosak.
“Di samping itu, semua produk makanan terlibat bernilai RM50,747 diarahkan supaya dialihkan daripada rak pameran jualan untuk disita di bawah Seksyen 4(1)(f) dan persetujuan pelupusan di bawah Seksyen 4(8), Akta Makanan 1983.
“Sebanyak 13 notis kesalahan di bawah Peraturan 10(b), Peraturan 14(9)(b) dan Peraturan 35, Peraturan-Peraturan Makanan 1983 telah dikeluarkan semasa operasi ini dengan nilai kompaun adalah RM55,000,” katanya.
Mengulas lanjut, kata beliau, sebanyak 2,446 tapak bazar ramadan telah diperiksa dan 2,403 telah diberikan arahan pembetulan serta-merta.
“Sebanyak 13 notis dengan nilai kompaun sebanyak 1,500 dikeluarkan kepada pemilik premis dan individu di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.
“Selain itu, terdapat sebuah kilang pembekal air batu telah diarahkan berhenti operasi untuk kerja-kerja pembersihan premisnya. Kita juga mendapati empat sampel makanan didapati tidak mematuhi peraturan yang ditetapkan serta dikenakan tindakan pendakwaan,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE