PUTRAJAYA – Kerajaan merancang pelaksanaan 270 program keusahawanan dengan peruntukan kewangan berjumlah RM15.11 bilion pada tahun ini bagi memanfaatkan 479,350 penerima.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, secara purata, sebanyak 191 program keusahawanan serta pembangunan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dilaksanakan setiap tahun dengan komitmen berjumlah RM9.6 billion.
Katanya, sebanyak 15.48 bilion dibelanjakan ke atas 258 program keusahawanan dan pembangunan PMKS sepanjang tahun lalu yang direkodkan menerusi pelaporan Pelan Tindakan Bersepadu PMKS (SMEIPA) 2023/2024.
“Pelaporan SMEIPA sedia ada perlu dijadikan rujukan utama semua pemegang taruh, khususnya kementerian dan agensi dalam ekosistem keusahawanan agar tidak berlaku lagi pertindihan pelaksanaan program-program PMKS di seluruh negara.
“Bagi menambah baik usaha penyelarasan program pembangunan usahawan, SME Corp Malaysia turut melaksanakan Sistem Pendaftaran Status PMKS bagi memastikan program yang dilakukan adalah lebih bersasar kepada usahawan dan PMKS, seterusnya mengelakkan ketirisan,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Pembangunan Usahawan dan PMKS Kebangsaan (MPUPK), di sini hari ini.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi MPUPK berkata, mesyuarat pada hari ini bersetuju Sistem Pendaftaran Status PMKS disepadukan bersama sistem utama lain seperti seperti Pangkalan Data Utama , Pangkalan Data SSM dan GovTech MALAYSIA.
Jelasnya, ia bagi meningkatkan sinergi antara kementerian dan agensi seterusnya menambah baik sistem penyampaian kerajaan, terutamanya dalam pembangunan keusahawanan.
“Kementerian dan agensi kerajaan disaran untuk sentiasa memastikan agenda pembangunan usahawan dilaksanakan secara menyeluruh dan bersepadu kerana tindakan ini amat penting bagi memastikan tiada lagi pertindihan program berlaku.
“Ini mewujudkan ketelusan yang lebih baik dalam perkhidmatan kerajaan dan mengurangkan pembaziran sumber kerajaan,” katanya. – KOSMO! ONLINE