PETALING JAYA – Gara-gara teringin menikmati ayam Korea, madu kepada pempengaruh Marissa Dania Hakim, Umisya Mazlan dikatakan hamil anak ketiga.
Spekulasi itu tercetus selepas tangkap layar perbualan dalam kumpulan Whatsapp dikongsi rakannya, Farah Fakhira tular.
Menerusi hantaran Instagram, pempengaruh dan usahawan terbabit pada awalnya bertanyakan menu cadangan kepada Umisya atau Misya dan isteri Abang Tesla, Nurmajdina Jamari.
Isteri pertama Ahmad Aslam itu kemudian memaklumkan teringin menikmati hidangan dari sebuah restoran popular kerana hamil.
“Ngandung (mengandung). Bumil (ibu hamil),” tulisnya.
Menguatkan lagi desas-desus apabila wanita berusia 25 tahun itu sekali lagi mengesahkan kehamilannya ketika ditanya Farah Fakhira.
Begitupun, tidak dapat dipastikan sama ada perkongsian itu sekadar gurauan sesama mereka atau pengakuan sahih.
Sebelum ini Misya mendedahkan berkahwin dengan Aslam ketika mereka masih belajar di peringkat diploma semasa negara melaksanakan fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Sewaktu melahirkan anak sulung mereka, Hud, suaminya tidak dapat menemaninya masuk ke dalam bilik bersalin berikutan peraturan mencegah Covid-19.
Malah katanya, sepanjang kehamilan cahaya mata pertama dan kedua, dia langsung tidak ada masalah alahan.
Walau diuji kemelut rumah tangga susulan pernikahan rahsia suaminya dengan anak pelakon Abby Abadi dan Norman Hakim pada Disember tahun lalu, Misya kini dilihat terus berdiri sebagai wanita serta isteri kental.
Dikatakan sudah berdamai dengan takdir, dia Marissa memilih fokus dengan kehidupan masing-masing. – KOSMO! ONLINE