KOTA BHARU – Kementerian Pengangkutan (MOT) mengalu-alukan syarikat penerbangan untuk memulakan laluan antarabangsa di Lapangan Terbang Sultan Petra (LTSIP), Pengkalan Chepa di sini ke negara-negara rantau Asia.
Menterinya, Anthony Loke Siew Fook berkata, status LTSIP sebagai lapangan terbang domestik tidak menghalang hasrat itu untuk dilaksanakan kerana ia bergantung kepada syarikat penerbangan sendiri.
“Sebenarnya tiada masalah bagi mana-mana syarikat penerbangan memulakan penerbangan antarabangsa dari LTSIP. Jadi, penerbangan dari Singapura, Bangkok atau negara rantau Asia boleh diadakan dan itu terpulang kepada syarikat penerbangan sendiri.
“Kapasiti LTSIP ketika ini sudah bertambah apabila banyak kemudahan menjadi lebih besar. Jadi, kita mengalu-alukan syarikat penerbangan yang mahu memulakan penerbangan antarabangsa dari sini,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Operasi Fasa 1 Projek Pembesaran dan Menaik Taraf LTSIP, Pengkalan Chepa, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Anthony berkata, keputusan mengadakan laluan terpulang kepada syarikat penerbangan bergantung kepada penilaian komersial dan Kelantan ketika ini merupakan antara tarikan pelancongan di Malaysia.
Menurutnya, syarikat-syarikat penerbangan boleh memohon melalui Suruhanjaya Peberbangan Malaysia (Mavcom) dan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) untuk memulakan laluan antarabangsa dari LTSIP ke luar negara.
Dalam perkembangan sama, Anthony menjelaskan tiada masalah untuk LTSIP dinaik taraf menjadi sebuah lapangan terbang antarabangsa, tetapi usaha itu akan mengambil masa kerana terdapat beberapa kriteria tertentu yang perlu dipenuhi.
Tambahnya, beliau yakin projek naik taraf fasa 2 LTSIP dapat disiapkan mengikut jadual iaitu pada Januari tahun depan. – KOSMO! ONLINE