PENYERANG Kedah Darul Aman (KDA) FC, Syafiq Ahmad serius untuk mempamerkan rentak konsisten dalam memastikan misi untuk kembali dipanggil sertai skuad kebangsaan pada bulan ini menjadi realiti.
Sebagai rekod, Syafiq muncul wira Sang Kenari apabila jaringan pantas dalam tempoh 33 saat berjaya membantu skuad Nafuzi Zain menewaskan PDRM FC 1-0 di Stadium Selayang kelmarin.
Menurut Syafiq, gol tersebut boleh dijadikan sebagai pemangkin semangat buatnya untuk tampil lebih cemerlang untuk memikat ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon pada kem latihan pusat akan datang.
“Terima kasih kepada rakan-rakan yang membantu saya untuk mendapat jaringan awal, namun gol ini bukan (sebab) saya seorang.
“Namun, harus diakui ini adalah permulaan yang baik buat saya dan pasukan, harap momentum ini dapat diteruskan bagi perlawanan akan datang.
“Mungkin ada yang cakap (gol tersebut) untuk saya menonjol lagi. Secara peribadi, saya turut berharap untuk beraksi dengan baik dalam setiap perlawanan dan kembali bermain untuk pasukan Harimau Malaya.
“Harimau Malaya ada perlawanan yang penting untuk kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027. Bagi saya yang pernah bermain untuk Harimau Malaya, setiap pemain memang mahukan tempat dalam pasukan Malaysia,” katanya selepas tamat perlawanan.
Pemain pinjaman daripada kelab Johor Darul Ta’zim (JDT yang kini berusia 29 tahun bukanlah nama asing dalam arena kebangsaan dan sering menjadi calon pilihan Pan-gon pada tahun pertamanya membimbing Harimau Malaya pada 2022.
Namun, kegagalan Syafiq mendapatkan minit permainan yang cukup di peringkat kelab menyukarkan Pan-gon untuk memanggilnya semula apabila kali terakhir disenaraikan ke skuad kebangsaan pada Mac tahun lalu.