KUALA LUMPUR – Tidak melupakan rakan duet yang pernah melalui suka duka bersama bersama, Konsert Memori Berkasih 25 Tahun Siti Nordiana yang berlangsung selama dua jam malam tadi berbaur syahdu apabila menyelitkan segmen penghargaan kepada rakan duetnya, Allahyarham Achik Spin.
Penyanyi Siti Nordiana membuat kejutan dengan memilih lagu Memori Berkasih yang diterbitkan pada tahun 2001 untuk ‘berduet’ dengan rakan seperjuangannya itu.
Zepp Kuala Lumpur yang menjadi gelanggang konsert sulung pemilik nama lengkap Siti Nordiana Alias, 40, itu hening seketika sebaik suara Achik yang meninggal dunia selepas sembilan tahun dendangan itu dihasilkan berkumandang.
Enggan membiarkan kesyahduan berterusan, lebih 1,500 penonton turut menyanyi beramai-ramai menandakan sokongan terhadap personaliti kesayangan mereka.
Segmen penghargaan tersebut pada awalnya membariskan dua lagi lagu yang pernah dipopularkan mereka berdua iaitu Resipi Berkasih dan Gurauan Berkasih.
Bukan hanya kepada arwah, berulang kali Siti Nordiana atau Nana yang menyebut dirinya sebagai ‘mader’ (ibu) kepada peminat tegar turut menzahirkan terima kasih semua yang menjadi tulang belakangnya.
Membahagikan persembahan mega itu kepada beberapa segmen termasuk Irama Malaysia, dia kini boleh menarik nafas lega apabila impian merealisasikan konsert solo termakbul bersempena jubli perak pembabitannya dalam arena seni.
Antara seleksi lain diperdengarkan bermula dengan lagu pertama, Amaran hingga terakhir, Paling Comel, momentum serta semangat penonton tidak pernah surut.
Repertoire lain adalah Tak Upaya Menangis Lagi, Cinta Hanya Sandaran, Bukan Mengungkit Tapi Membangkit, Kasihmu Seakan Berubah, Nisan Cinta, Angkara, Terus Mencintaimu dan Hatiku Milikmu.
Zepp Kuala Lumpur menjadi saksi bahawa anak Felda Sendayan, Negeri Sembilan itu bukan calang-calang penghibur biarpun digelar ‘penyanyi leman’ atau pelantun lagu-lagu jiwang mendayu-dayu. – KOSMO! ONLINE