MOSCOW – Presiden Russia, Vladimir Putin menggantikan Menteri Pertahanan Russia, Sergei Shoigu dengan seorang pakar ekonomi untuk menerajui portfolio tersebut, lapor agensi berita United Press International.
Menurut pengumuman Kremlin, Andrei R. Belousov dijangka menggantikan Shoigu yang akan kekal dalam kabinet untuk menerajui majlis keselamatan Russia.
Belousov merupakan pakar ekonomi yang pernah berkhidmat sebagai timbalan perdana menteri dan menteri pembangunan ekonomi.
Jurucakap Kremlin, Dmitri Peskov berkata, peningkatan besar bajet pertahanan Moscow ketika perang di Ukraine berterusan, menjadi antara punca Putin membuat perubahan itu.
“Adalah sangat penting untuk memastikan ekonomi blok keselamatan bersesuaian dengan ekonomi negara ini supaya ia bertepatan dengan dinamik semasa,” katanya.
Sementara itu, Nikolai Patrushev yang mengetuai majlis keselamatan Russia selama 16 tahun, akan dipindahkan ke jawatan lain dalam masa beberapa hari lagi, kata Kremlin.
Perubahan itu berlaku ketika Putin memulakan penggal kelimanya sebagai Presiden Russia.
Ia juga merupakan kali pertama Putin merombak pasukan keselamatannya sejak Russia menyerang Ukraine pada Februari 2022. – AGENSI