Naim atau nama penuhnya, Muhammad Naim Daniel Baharin, 27, turut menyifatkan mereka yang melancarkan gerakan tersebut sebagai tidak beradab kerana menjatuhkan hukuman sesuka hati.
“Pung pang kau suruh orang boikot itu ini atas nama Islam tetapi kau jatuh hukum sendiri.
“Hina orang yang tidak atau belum berbuat demikian (bersuara tentang Palestin) macam kau tak belajar adab dalam agama supaya jangan melampau.
“Bocor ke tak bocor Islam kau? Semoga kita tak berada dalam golongan ‘terpaling’,” katanya dalam aplikasi X semalam.
Meninjau ruangan komen, rata-rata netizen kesal dengan kenyataan pelakon drama Project High Council itu yang dilihat cuba mempertahankan rakan-rakan selebriti mempromosikan produk menyokong Zionis.
“Terpaling? Terpaling apa? Lebih baik lagi dalam golongan terpaling daripada golongan yang promosi produk Yahudi sebab duit. Sekurang-kurangnya kami buat benda yang anda tak mampu buat.
“Memang layak diboikot. Tak boleh beri pengaruh tidak mengapa tetapi jangan menyokong. Ingat, peminat dan orang awam yang sokong kerjaya anda semua, Jangan terlalu sombong,” balas netizen.
Selepas teruk dihentam netizen, Naim kemudian bertindak memadam ciapan tersebut bagi mengelakkan keadaan menjadi lebih keruh.
Terdahulu, majlis Met Gala 2024 berlangsung pada hari sama Palestin diserang tentera Israel menyebabkan ramai netizen melancarkan gerakan Blockout 2024 dengan memboikot selebriti Hollywood yang tidak menyokong Palestin.
Gerakan itu turut dilakukan oleh netizen Malaysia dengan menyenaraikan nama artis dan pempengaruh tempatan yang masih menjadi duta jenama terkenal antarabangsa pro Israel. – KOSMO! ONLINE