KUALA LUMPUR – Malaysia terlibat secara aktif dengan negara-negara ASEAN lain untuk memacu inisiatif serantau termasuk Grid Kuasa ASEAN.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, Grid Kuasa ASEAN bertujuan memperkukuh ketersambungan dan keselamatan tenaga elektrik di rantau ini.
Ujar beliau, dengan inisiatif berkenaan, Malaysia boleh mempercepatkan penggunaan teknologi hijau melalui pertukaran sumber, pengetahuan dan teknologi.
“Daripada kerumitan teknologi kepada kekangan ekonomi, kita terus kekal teguh dalam komitmen kepada rangka kerja dasar yang fleksibel dan versatil.
“Rangka kerja ini akan memastikan pengurusan adaptif dan integrasi lancar bagi teknologi baru muncul, mendorong kita melangkah ke hadapan di tengah-tengah cabaran dinamik” katanya dalam ucaptama pada Persidangan Hidrogen Hijau ASEAN 2024 di sini hari ini.
Sementara itu, Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) berkata, Malaysia akan terus terlibat dengan pihak berkepentingan dan mengekalkan dialog terbuka.
Menurut beliau, langkah tersebut bagi memastikan strategi negara kekal selaras dengan trend tempatan dan juga global bagi mengemudi negara dengan mantap ke arah masa depan yang mampan.
Tambah beliau, PETRA pula akan terus menjalin kerjasama secara proaktif dengan pelbagai kementerian terutama Kementerian Ekonomi serta Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri dalam memupuk pertumbuhan sektor tenaga negara.
“PETRA juga memperluaskan usaha kerjasamanya untuk menerima pelbagai sektor swasta daripada utiliti kepada syarikat tenaga,” katanya.
Dalam pada itu, kata beliau, Malaysia perlu mencari alternatif tenaga lain seperti solar, hidrogen dan biomas yang lebih mapan, mesra alam dan mampu dibiayai oleh pengguna.
“Kedudukan tanah Semenanjung, keperluan tenaga banyak, tetapi sumber mungkin makin kurang khususnya bila arang batu dihapuskan dan kita masa ini akan bergantung kepada gas, tetapi gas pula makin mahal sebab kita terpaksa import.
“Tetapi potensi besar juga perlu dilihat di Sarawak dan Sabah, malah di Pulau Borneo itu sendiri yang berada di tengah-tengah ASEAN merupakan potensi untuk menjadi pembekal tenaga boleh baharu untuk masa akan datang,” katanya. – KOSMO! ONLINE