Amanie Group melalui Amanie Academy yang telah bertapak dalam bidang kewangan Islam sejak 15 tahun lalu terkenal di peringkat domestik dan antarabangsa atas kejayaannya melatih lebih daripada 10,000 profesional dalam bidang tersebut.
Imejnya yang mengukuh itu telah membolehkan syarikat terkenal sebagai badan yang dipercayai dan kini telah mengorak langkah ke hadapan dengan melancarkan dua platform kecerdasan buatan (AI) iaitu Raida.AI serta AIFA.AI.
Pengasas dan Pengerusi Amanie Academy, Tan Sri Dr. Mohd. Daud Bakar yang telah mempelajari tentang AI sejak tahun 2012 itu berkata, melalui kedua-dua platform tersebut, pihaknya berinisiatif untuk memperluas akses pendidikan dan kewangan Islam kepada semua individu tanpa mengira latar belakang atau lokasi.
“Dengan menggunakan teknologi terkini, Amanie Academy bercita-cita untuk memperkasakan individu di seluruh dunia, merangsang perubahan positif dan memperkukuh kemajuan dalam bidang pendidikan serta kewangan Islam,” katanya ketika ditemui di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Mohd. Daud yang pernah menerima Anugerah Diraja Kewangan Islam 2022 itu begitu terkenal dalam industri kewangan Islam yang merupakan cendekiawan, intelektual, penasihat dan juga usahawan dalam bidang syariah.
Selain pernah memegang pelbagai jawatan penting dalam Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia dan Suruhanjaya Sekuriti, beliau juga menganggotai banyak badan Badan Penasihat Syariah institusi kewangan Islam di pelbagai negara.
KOSMO!: Boleh Tan Sri jelaskan tentang AI?
MOHD. DAUD: AI adalah satu perkara mudah yang boleh dibangunkan jika kita memiliki saintis data yang bagus sebab segala maklumat terdapat dalam data besar dan data tersebut telah tersedia di pasaran.
Kita cuma bangunkan sistem tersebut dengan merangka, meletak dan mengumpul data daripada pelbagai cabang.
Jadi daripada data tersebut, kita boleh melatih robot atau AI itu untuk belajar dan terus belajar serta memahami formula tentang perkara tersebut. Sebagai contoh, jika kita melatih robot itu belajar tentang subjek matematik dan ia akan belajar tentang formula serta memahaminya.
Robot perlu diajar dan terus belajar agar soalan yang ditanya manusia kepada robot itu boleh dijawab dengan mudah.
Berapa lama proses pembelajaran tersebut untuk membuatkan sesebuah robot itu menjadi pandai?
Ia ambil masa selama enam bulan tapi kalau ada perkara yang agak kompleks, maka masa yang diambil mungkin lebih lagi.
Boleh jelaskan bagaimana pengumpulan data untuk membangunkan Raida.AI dan AIFA.AI?
Raida.AI tertumpu kepada bidang pendidikan, manakala AIFA.AI memfokuskan kepada bidang kewangan dan perbankan.
Proses pengumpulan data dibuat melalui maklumat dalam segala cabang pendidikan termasuk subjek untuk Sijil Pelajaran Malaysia.
Kami feed segala maklumat ini secara berterusan kepada sistem dan setiap patah perkataan yang dibaca, sistem /robot itu akan terus membaca. Bila kita ajar dalam bidang matematik, sistem akan mengingat dan memahami formula, apabila pelajar bertanya soalan, robot itu dapat memahami soalan dan formula lantas dapat menjawabnya dengan mudah, tepat dan cepat.
Kemudian robot itu boleh membuat satu rumusan daripada soalan yang terlalu kerap ditanya oleh pelajar dan membuat pengkelasan bahawa sebagai contoh, pelajar daripada kumpulan B40 agak lemah dalam sesuatu tajuk dalam bidang pelajaran matematik.
Bagaimana proses pembelajaran robot tersebut?
Robot ini boleh belajar sendiri dan ia adalah satu mekanisme yang belajar dengan sendiri (self learning dan self improving). Ini adalah kuasa bagi sesuatu AI.
Sistem ini akan menjadi lebih pandai apabila kita sentiasa feed sistem tersebut, macam kita bagi ia makan.
Contohnya kita masukkan 100,000 patah perkataan daripada sebuah buku dan ia mengambil masa selama dua jam untuk selesai membaca serta memahami segala maklumat dan formula.
Kemudian kita masukkan lagi bahan daripada dokumen lain, lalu ia baca dan faham. Selepas itu jika ada pelanggan yang bertanya soalan, ia akan dapat menjawabnya dengan lengkap.
Siapakah kumpulan sasaran untuk dua platform ini?
Raida.A.I. boleh dilanggan oleh semua pelajar dengan yuran RM10 sebulan. Ia boleh dijadikan rujukan yang baik kepada guru-guru, mereka yang terlibat dalam bidang pendidikan, kementerian serta yayasan dengan langganan tidak terhad untuk semua mata pelajaran.
Sementara itu, untuk platform AIFA.A.I pula ditawarkan pada harga AS$100 sebulan (RM473) dan khusus untuk golongan profesional, pakar kewangan dan perbankan.
Berapakah sasaran pelanggan baharu untuk platform baharu ini?
AIFA.A. dijangka dilanggan antara 3,000 hingga 4,000 orang dalam tempoh enam bulan akan datang, sebanyak 60 peratus mewakili pelanggan dari luar negara yang terdiri daripada golongan profesional dari Eropah, Asia Barat, China dan India yang akan menjadikan platform ini sebagai pusat ilmu untuk mereka membuat kajian. Baki 40 peratus adalah langganan daripada pasaran domestik.
Apakah cabaran yang dihadapi dalam bidang AI?
Cabarannya adalah untuk mendapatkan data yang tepat dan lengkap dan juga sejauh mana kita nak pastikan robot itu memahami dan juga dilatih untuk memahami apa yang kita kehendaki.
Kita perlu melatih robot ini agar lebih peka tentang soalan berkaitan agama atau perkara lain yang sensitif agar ia tidak memberi impak negatif kepada pelanggan.
Kita perlu latih robot itu untuk menjawab soalan berbau sensitif itu dan meminta pelanggan mendapatkan jawapan yang ditanya kepada kaunselor sahaja. Ini adalah perkara yang paling sukar bagi robot untuk menjawab tentang isu kemanusian.
Apakah perancangan terbaharu pada tahun ini?
Kami dalam proses untuk melancarkan satu platform yang memberi manfaat pengguna berkaitan dengan pengurusan kewangan.
Pelbagai soalan tentang kadar faedah, kadar dasar semalaman dan pelbagai perkara lain yang menjadi topik perbincangan atau kekeliruan pengguna boleh dijawab oleh AI.
Produk baharu itu akan dilancarkan dalam masa terdekat ini. Kami sasarkan untuk memperkenalkan dua hingga tiga produk baharu yang mana salah satunya berkaitan dengan platform untuk guru-guru dan juga platform untuk pendidikan agama. -KOSMO! ONLINE