PETALING JAYA – Pendidikan awal kanak-kanak begitu penting dalam sistem pendidikan di negara ini untuk mencorak kelangsungan pembelajaran anak-anak yang berusia dari umur lima tahun mendepani segala cabaran sehingga sampai ke peringkat universiti.
Ibu bapa begitu mengambil berat tentang aspek ini dan sanggup berbelanja besar untuk membolehkan anak-anak mereka berada di sekolah yang berkualiti dan mementingkan keseimbangan antara pembelajaran agama dan juga akademik.
Salah sebuah nama besar dalam segmen pendidikan awal kanak-kanak adalah Genius Aulad, anak syarikat Gains Education Group Sdn. Bhd. (Gains) yang kini telah berusia lebih daripada 20 tahun yang juga terkenal sebagai salah satu francaisor utama di negara ini.
Sepanjang dua dekad itu, jenama tersebut telah memberi manfaat ilmu, pengetahuan dan pengalaman kepada lebih 82,000 pelajar dan menawarkan peluang pekerjaan kepada lebih 4,500 guru dari seluruh negara.
Pengasas syarikat, Zaliza Alias berkata, bermula hanya dengan 20 pelajar untuk pembukaan cawangan pertamanya di USJ 21, Subang Jaya, Genius Aulad kini berkembang maju, semakin utuh dan matang mengorak perjalanan untuk fasa yang baharu ke arah digitalisasi dan terus kreatif serta berinovatif untuk memenuhi keperluan fasa baharu ini.
“Pada peringkat awal, kami masih tidak faham tentang potensi francais dan dalam masa yang sama kami juga berdepan dengan kekangan modal untuk membangunkan institusi pendidikan ini.
“Tapi dengan bimbingan daripada Perbadanan Nasional Berhad (Pernas) sehingga ke hari ini, empayar ini terus membangun dan kami terus berdiri kukuh dengan pelan pengembangan masa depan serta memiliki keunikan yang tersendiri sehingga jenama ini mendapat tempat di pasaran tempatan, malah berjaya menembusi pasaran ke Indonesia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis Anugerah Francais Genius Aulad 2024 di Cyberjaya baru-baru ini.
Mengimbau fasa awal pembukaan Genius Aulad, ia memberi kelebihan kepada syarikat untuk bertapak kukuh memandangkan tiada persaingan yang sengit dan melalui program pembelajaran yang memfokuskan kepada agama dan bahasa Inggeris membuatkan ia menjadi pilihan ibu bapa masa lalu.
Kini, syarikat telah berkembang kepada 82 cawangan diperluaskan melalui sistem francais dan 13 outlet tersebut dimiliki oleh ibu pejabat, manakala bakinya dioperasikan oleh usahawan lain.
Sehingga kini, syarikat telah melabur sehingga RM20 juta dalam bidang tersebut dan RM10 juta difokuskan kepada usaha pembentukan semula infrastruktur pendidikan awal kanak-kanak sebagai komitmen syarikat untuk menyediakan ilmu berkualiti kepada kumpulan sasaran.
“Kami bercadang untuk membuka 10 hingga 18 outlet baharu yang bakal menjadikan kami memiliki 100 cawangan menjelang akhir tahun ini.
“Pelaburan adalah antara RM200,000 hingga RM300,000 untuk satu outlet bergantung kepada pelbagai faktor seperti lokasi di dalam kawasan bandar, taman perumahan dan lain-lain.
“Bagaimanapun, bagi setiap pelaburan untuk outlet tersebut, pulangan daripada pelaburan tersebut dapat diperoleh semula dalam tempoh tiga tahun sahaja.
“Ini adalah model perniagaan yang berpotensi yang mana setiap pelaburan dalam sistem pendidikan, ia menjanjikan pulangan antara 20 hingga 30 peratus setahun,” jelasnya.
Zaliza yang juga Pengarah Gains menerangkan, bersandarkan kepada peluang berpotensi itu, hampir 95 peratus daripada francaisi Genius Aulad telah memperbaharui kontrak perniagaan francais mereka selepas melalui tempoh perniagaan selama lima tahun.
“Francais adalah satu platform yang menawarkan sistem perniagaan yang konsisten dan kami sangat mementingkan perkara tersebut termasuk kualiti agar ia kekal kukuh.
“Sehubungan itu, kami perlu sentiasa menganjurkan sesi latihan, bimbingan serta ‘coaching’.
“Melihat kepada pemain yang ramai di pasaran pastinya mewujudkan persaingan yang hebat tetapi ia memberi semangat kepada kami untuk terus berdaya saing.
“Kekuatan kami terletak pada ekosistem dan sistem sokongan dalam pengoperasian perniagaan francais.
“Ia telah menyokong segala aspek seperti subjek pembelajaran, modal insan, transformasi kepada digitalisasi, pemasaran dan kempen promosi yang dibuat secara menyeluruh.
Zaliza menerangkan, atas faktor itu juga, harga tawaran yuran bulanan yang dikenakan oleh syarikat menjadi penanda aras kepada pasaran semasa dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak.
“Pemain lain akan menawarkan harga yuran masing-masing mengikut harga yang kami tawarkan, ini kerana faktor kematangan kami dan ekosistem sedia ada.
“Kami tahu nilai yang ditawarkan kepada pasaran tetapi secara asasnya harga yuran yang ditawarkan perlu berada pada kadar pertengahan yang mana ia mampu dibayar oleh golongan ibu bapa atau waris daripada golongan rendah, manakala ia adalah kadar yang berpatutan bagi golongan atasan.
“Yuran bagi sesi persekolahan setengah hari adalah sebanyak RM380 sebulan, manakala sesi harian penuh sebanyak RM680 sebulan serta yuran pendaftaran tahunan pula adalah antara RM1,500 hingga RM1,600,” ujarnya.
Menjawab persoalan berkaitan kenaikan kos yang meningkat sehingga berkemungkinan memberi impak negatif kepada syarikat, Zaliza menjelaskan, sehingga kini pihaknya mampu menyerap segala pertambahan kos dan berharap ia dapat dikekalkan untuk membolehkan ramai lagi kanak-kanak belajar di Genius Aulad pada masa depan. -KOSMO! ONLINE