ISKANDAR PUTERI – Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi menegaskan laporan portal berita antarabangsa yang mendakwa sebuah kasino bakal dibina di Forest City, di sini adalah satu fitnah dan tidak benar.
Menurut beliau, perkara tersebut dilihat bertujuan menjejaskan imej kawasan pembangunan hartanah tersebut dan juga Johor secara amnya.
“Berita berhubung pembinaan dan pengurusan lesen kasino di Forest City adalah satu fitnah liar dan tidak benar sama sekali. Ini tidak ubah seperti bau busuk tidak berbangkai, fitnah tidak masuk akal melainkan hanya berniat jahat mencemar imej Forest City dan Johor.
“Ia juga seolah-olah mengulangi usaha membina persepsi negatif untuk menggagalkan pembangunan Forest City seperti yang dilakukan sesetengah pihak tertentu pada tahun 2018 dengan pelbagai hasutan dan fitnah.
“Sebaliknya, saya yakin dengan komitmen diberikan kerajaan persekutuan bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sekarang adalah masa terbaik untuk bangunkan Forest City,” katanya.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan diajukan Liow Cai Tung (PH – Johor Jaya) berhubung laporan portal antarabangsa melibatkan pembinaan sebuah kasino di Forest City ketika sesi menjawab soalan di Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar, di sini hari ini.
Sebelum ini, Onn Hafiz juga dilaporkan berkata tiga kasino yang pernah beroperasi di negeri ini telah diarah tutup sejak zaman pemerintahan Almarhum Sultan Sir Ibrahim.
“Yang Di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim juga telah bertitah bahawa baginda tidak membenarkan pembukaan mana-mana kasino di negeri Johor. Ini jelas menunjukkan pendirian Johor berhubung perkara ini,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE