SHAH ALAM – Penyanyi Kaka Azraff menyifatkan gerakan digital memboikot selebriti yang mendiamkan diri tentang isu sosial, khususnya perang Zionis-Gaza sebagai langkah baik.
Kaka atau nama sebenarnya Nor Atiqa Noor Azraff, 34, menyahut gerakan tersebut selain berharap rakan selebriti tempatan tidak terkesan dengan tindakannya.
“Melihat kepada gerakan ‘block out’ saya rasa satu langkah bagus tetapi harap tiada yang terkesan dan terasa.
“Saya bukan nak kecam cuma sangat gembira dengan tindakan positif tersebut. Saya sendiri sudah mula sekat artis-artis antarabangsa sebab enggan mereka meracuni fikiran saya.
“Rasanya kita sudah terlampau terikut sangat cara barat. Kita kena ada identiti dan pegangan sendiri,” katanya kepada Kosmo! Online.
Ditebak mengenai rakan selebriti yang masih mempromosikan barangan menyokong Israel, pelantun lagu Bawa Aku Pergi itu enggan menghakimi kerana menghormati alasan mereka.
“Saya tidak boleh menghakimi seseorang. Itu pilihan masing-masing dan saya hormati. Semua ada alasan dan sebab masing-masing.
“Mana tahu mereka buat hanya untuk tolong keluarga sendiri. Allah sahaja yang tahu, kita tak tahu.
“Mungkin apa saya buat ini orang nampak betul tetapi kita tidak tahu, Allah sahaja yang mengetahui,” jelasnya.
Terdahulu, wujud gerakan Blockout2024 bagi memboikot selebriti dunia yang masih menjalinkan kerjasama dengan produk menyokong kekejaman Zionis di bumi Palestin.
Gerakan itu dibuat sebagai meluahkan rasa kecewa terhadap sikap segelintir selebriti yang tanpa rasa bersalah mempromosikan produk berkaitan atau menyokong Israel dalam media sosial milik mereka.
Antara nama besar yang diboikot ketika ini ialah Taylor Swift, Kim Kardashian, Blackpink, Lady Gaga dan Justin Bieber.
Netizen Malaysia tidak ketinggalan menyuarakan hal serupa dan menyenaraikan beberapa nama selebriti yang dikatakan masih mempromosikan produk menyokong Israel tanpa segan silu.- KOSMO! ONLINE