JAKARTA – Sebuah gunung berapi di timur Indonesia meletus hari ini dengan menghamburkan abu setinggi lebih 5 kilometer ke langit selepas pihak berkuasa meningkatkan tahap amaran ke peringkat kedua tertinggi minggu lalu.
Tiada kerosakan atau kehilangan nyawa dilaporkan setakat tengah hari tadi tetapi beberapa gambar menunjukkan asap tebal naik ke langit di Pulau Halmahera, wilayah Maluku Utara.
“Asap hitam dan tebal dilihat condong ke arah barat,” kata ketua agensi geologi, Muhammad Wafid dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau menggesa penduduk berdekatan memakai pelitup muka dan kacamata ketika berada di luar rumah untuk melindungi diri daripada abu gunung berapi.
Gunung berapi itu menghamburkan letusan kecil pada Sabtu lepas dengan memuntahkan lahar dan abu setinggi beberapa kilometer ke ruang udara.
Gunung Ibu merupakan gunung berapi antara paling aktif di Indonesia dan meletus lebih 21,000 kali pada tahun lalu. – AFP