fbpx

Gerakan online boikot selebriti ‘tutup mulut’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PENYANYI Taylor Swift beraksi di pentas konsert Paris La Defense Arena, Perancis pada 9 Mei lalu. – AFP

NEW YORK –  Pengguna laman media sosial di serata platform mewujudkan gerakan digital untuk memboikot selebriti yang mendiamkan diri tentang isu sosial khususnya perang Israel-Gaza, lapor laman berita the national news semalam. 

Gerakan boikot itu dikenali sebagai ‘blockout’  atau  ‘digital guillotine’. Ia mendapat momentum sejak seminggu lalu selepas acara fesyen popular, Met Gala yang berlangsung di Bandar Raya New York dan dihadiri oleh barisan artis ternama Amerika Syarikat serta selebriti utama lain.

Majlis gala itu diketengahkan oleh ramai pengguna media sosial. Mereka membandingkannya dengan kemusnahan dahsyat di Gaza terutamanya apabila Israel menggempur Rafah yang bermula pada Isnin minggu lalu.

“Terdapat kempen boikot besar-besaran, #Blockout2024 yang sedang berlangsung di mana kami menyekat semua selebriti yang tidak bercakap tentang isu Palestin atau menggesa gencatan senjata diadakan. Ia adalah gerakan global,” kata penyajak Bahrain, Karim Wafa-Al Hussaini di platform X.

Menggunakan tanda pagar  #celebrityblocklist, #letthemeatcake dan #blockout, pengguna laman sosial menyenaraikan nama selebriti yang menghadiri majlis Met Gala atau mempunyai ramai pengikut atau pengaruh besar tetapi tidak pernah bercakap mengenai peristiwa di Gaza.

Netizen mencadangkan supaya kumpulan selebriti itu diboikot secara online dalam tindakan yang dikatakan erpotensi menjejaskan pendapatan atau pengaruh mereka.

“Saya menyenaraikan semua selebriti yang menghadiri Met Gala dan saya akan menulis sekiranya mereka menutup mulut atau mereka menggunakan platform masing-masing untuk bercakap  mengenai genosid di Gaza,” kata pengguna TikTok, @silentcelebs8 dalam satu klip video yang turut memaparkan senarai panjang nama selebriti terbabit.

Sebilangan selebriti itu tertera perkataan bermaksud ‘berdiam diri’ di sebelah nama mereka.

Antara selebriti yang disebut dalam gerakan itu termasuk Cardi B, Kim Kadarshian, Taylor Swift dan Beyonce.

Sementara itu saluran berita NPR melaporkan, sebilangan selebriti telah kehilangan pengikut mereka sejak gerakan online itu bermula. Menurutnya, Taylor Swift hilang kira-kira 300,000 pengikut di platform TikTok sejak seminggu lalu dan 50,000 lagi di laman Instagram apabila gerakan sama bermula. 

Penyanyi popular itu memiliki sekitar 33.3 juta dan 283 juta pengikut di setiap platform sosial tersebut. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI