ALOR SETAR – Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) menambah baik prosedur operasi standard (SOP) berkaitan pembelian diesel bersubsidi dalam kalangan nelayan bagi mengelak aktiviti penyelewengan bahan subsidi itu.
Pengerusinya, Muhammad Faiz Fadzil berkata, antara SOP tersebut adalah tiada lagi pembelian secara pukal diesel berkenaan oleh nelayan bagi mengekang ketirisan.
Katanya, tindakan itu susulan daripada kes penyelewengan diesel yang melibatkan nelayan di Kuala Muda pada bulan lepas.
“Seminggu selepas kejadian itu berlaku, kita panggil semua pegawai dan pengurus besar persatuan nelayan kawasan (PNK) yang terlibat dengan jualan diesel ini untuk mengadakan pertemuan dan perbaiki beberapa SOP atau tatacara yang kita ketatkan untuk pastikan tiada ketirisan seperti ini.
“Antara SOP ini, kita tidak bagi lagi pembelian secara pukal kerana kadang-kadang berlaku pembelian pukal tetapi kini kita tak beri lagi,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Rahmah Mesra Bersama Nelayan Kuala Kedah di Slipway Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Kuala Kedah, Kampung Telok Layang di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE