SIK – Walaupun nampak mustahil tetapi seorang lelaki tetap berharap agar isterinya kembali pulih selepas wanita itu koma sebaik melahirkan anak ketiga mereka sejak dua tahun lalu.
Bekas guru Kelas Agama dan Fardhu Ain (KAFA), Nurul Azhani Abu Hassan @ Hussain, 37, kini terlantar dan hanya membuka mata dan kadang-kadang menggerakkan jari tanpa ada tindak balas lain.
Suaminya, Muhammad Shazuan Md. Saad, 38, berkata, isterinya koma selepas tidak sedarkan diri dengan jantung berhenti berdegup selepas bersalin.
“Puncanya disebabkan air ketuban telah memasuki saluran darah dan kes itu sangat jarang berlaku. Selalunya ia berakhir dengan kematian.
“Anak bongsu kami, Muhammad Zakwan Adha yang dilahirkan secara pembedahan pada 6 Julai 2022 kini berusia setahun lapan bulan dan dijaga oleh adik, Nurul Azhani supaya dia dapat merasai kasih sayang seorang ibu,” katanya ketika ditemui di Kampung Teloi Tua, di sini baru-baru ini.
Menurut tukang rumah itu, dia amat berharap agar masih ada harapan untuk isterinya sedar dan sembuh.
Tambahnya, Aidilfitri baru-baru ini disambut ala kadar kerana semua wang telah digunakan untuk membeli keperluan isterinya terutama susu khas, lampin pakai buang dan ubat.
“Saya tidak dapat bekerja kerana perlu jaga isteri yang perlu diberi susu khas menemui tiub setiap tiga jam selain kena sedut kahak,” katanya.
Ujar Muhammad Shazuan, dia perlu menyediakan 30 tin susu setiap bulan untuk isterinya dan setiap satunya berharga RM50.
“Sebahagiannya diberi oleh Perkeso. Kos RM800 untuk menyewa ambulans bagi membawa isteri ke Hospital Sultan Abdul Halim di Sungai Petani juga perlu dikeluarkan,” katanya.
Menurut Muhammad Shazuan, ketika ini dia hanya bergantung kepada elaun bulanan sebagai siak berjumlah RM700 sebulan selain menerima RM800 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Lembaga Zakat Negeri Kedah.
“Setiap bulan paling kurang saya perlu ada RM2,500 untuk sara isteri dan anak-anak, Muhammad Syakir Amin, 13, Nurul Umairah, 11, dan Muhammad Zakwan Adha yang semakin membesar,” katanya.
Orang ramai yang ingin membantu Muhammad Shazuan menguruskan keluarganya boleh menghubunginya di talian 019-352 3308 atau memberi sumbangan di akaun Bank Islam miliknya 02-132-02-004321-5.