KUALA LUMPUR – Padah menerima wang rasuah RM6,000 untuk tidak mengambil tindakan terhadap seorang lelaki atas kesalahan mencabul, seorang bekas penolong penyiasat polis wanita berpangkat sarjan didenda RM8,000.
Hakim Mahkamah Sesyen Suzana Hussin menjatuhkan hukuman denda itu terhadap Nur Mastisha Maidinsha, 39, selepas tertuduh menukar pengakuan kepada bersalah atas dua pertuduhan pilihan yang didakwa ke atasnya.
Mahkamah juga memerintahkan Nur Mastisha dipenjara 40 hari jika gagal membayar denda dan tertuduh menbayar denda berkenaan.
Dalam penghakimannya sebelum menjatuhkan hukuman denda itu, Hakim Suzana menasihatkan tertuduh agar insaf dan berfikir panjang sebelum mengambil sebarang tindakan pada masa akan datang.
“Mahkamah menerima pengakuan bersalah. Kes ini bukan saja bukan memberi kesan kepada tertuduh, malah termasuk anak yang masih kecil,” katanya.
Mengikut dua pertuduhan pilihan itu, Nur Mastisha didakwa menerima wang RM6,000 tanpa balasan daripada seorang lelaki yang mana tertuduh mengetahui bahawa lelaki itu ada hubungan dengan kerja rasminya.
Kesalahan itu dilakukan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur dan sebuah stesen minyak di Batu 9, Cheras di sini pukul 8 dan 8.05 malam pada 1 dan 12 Oktober 2022.
Justeru pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara hingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
Semasa prosiding, Nur Mastisha yang tidak diwakili peguam dalam rayuan terhadap hukuman merayu agar dikurangkan hukuman selain mendakwa tidak pernah terbabit jenayah sepanjang perkhidmatan polis selama 19 tahun.
“Saya mohon jasa baik untuk kurangkan denda kerana sudah menjimatkan masa mahkamah dan pihak pendakwaan. Saya juga menanggung dua anak dan perlu membayar hutang RM4,500 setiap bulan, selain bukan senang untuk mendapat pekerjaan baharu,” katanya.
Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Nurul Atiqah Mohamad Alias, dalam hujahan pemberatan hukuman berkata kesalahan rasuah yang dilakukan tertuduh telah ‘menconteng arang muka’ Polis Diraja Malaysia (PDRM), sekali gus merosakkan reputasi dan mengurangkan kepercayaan masyarakat terhadap pasukan penguatkuasaan itu.
“PDRM adalah satu badan yang dipercayai untuk menjaga keamanan negara. Bagi fakta kes yang diakui, tertuduh memperoleh wang suapan untuk dirinya supaya tidak mengambil tindakan ke atas suspek jenayah seksual. Faktor kepentingan awam antara pertimbangan utama mahkamah dalam memutuskan hukuman yang sesuai terhadap tertuduh,” katanya.
Mengikut fakta kes, pada hari kejadian tertuduh telah mencadangkan untuk selesaikan kes tanpa siasatan iaitu membayar wang sebagai balasan.
Ia berhubung supaya tetuduh tidak mengambil tindakan terhadap anak kepada lelaki itu atas kesalahan mencabul. – KOSMO! ONLINE