fbpx

Bayi bertali pusat ditemui di dalam kotak tepi jalan Gopeng

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
BAYI perempuan yang cukup sifat ditemui masih hidup ditinggalkan dalam kotak di atas jalan berhampiran Gua Tempurung, Gopeng, Kampar pada petang semalam. - IHSAN PDRM

KAMPAR – Seorang bayi perempuan yang dipercayai baru dilahirkan ditemui dalam keadaan berbalut dengan kain batik di dalam kotak berhampiran Gua Tempurung pada pukul 3.15 petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Mohamad Nazri Daud berkata, hasil siasatan awal mendapati, bayi malang itu ditemui oleh orang awam yang ingin melihat lembu peliharaan di kawasan itu.

“Ketika menghampiri kawasan itu, mereka ternampak kaki seperti kaki bayi terkeluar dari sebuah kotak yang diletakkan di tepi simpang masuk sebuah pusat pengajian al-Quran dan pusat pemulihan akhlak.

“Curiga dengan keadaan itu, mereka mendekati kotak berkenaan sebelum melihat seorang bayi perempuan ditinggalkan hanya dengan berbalut kain,” katanya di sini hari ini.

Katanya lagi, bayi itu ditemui masih hidup dan cukup sifat dengan kesan darah bersama tali pusat dan uri.

Tambah beliau, siasatan mendapati, bayi terbabit berkemungkinan baru ditinggalkan di kawasan itu kurang 12 jam sebelum dijumpai.

“Polis masih membuat siasatan termasuk di sekitar tempat kejadian bagi mengesan suspek terlibat. Kawasan penemuan merupakan laluan awam dan tidak berpagar selain tiada rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) yang boleh membantu sisatan.

“Polis juga telah menjalankan pemeriksaan ke atas tiga penghuni wanita di pusat pengajian itu dan didapati tiada tanda-tanda telah melahirkan bayi,” katanya.

Dalam pada itu, Mohamad Nazri memaklumkan, bayi perempuan itu dilaporkan berada dalam keadaan stabil selain telah mendapatkan rawatan lanjut di Hospital Kampar.

“Pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah dimaklumkan mengenai kes penemuan bayi ini. Kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI