KOTA BHARU – Bas pelancong dari Thailand dibenarkan memasuki negara ini dengan syarat syarikat-syarikat terlibat perlu mengemukakan permohonan permit kebenaran dari Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD).
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook memaklumkan, peraturan itu terpakai di seluruh negara termasuk ke Kuala Lumpur dan tidak hanya terhad kepada negeri-negeri di kawasan sempadan negara semata-mata.
Menurutnya, perkara tersebut diputuskan melalui mesyuarat baru-baru ini apabila bas dari Thailand hanya perlu membuat permohonan kepada APAD untuk memasuki negara ini dengan pengeluaran permit sementara.
“Bas-bas dari Thailand perlu mengemukakan maklumat tertentu termasuk pakej pelancongan, bilangan penumpang dan lokasi penginapan.
“Peraturan dan kebenaran itu bagaimanapun tidak terpakai kepada van-van yang membawa penumpang dari Thailand ke Malaysia,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Perasmian Operasi Fasa 1 Projek Pembesaran dan Menaik Taraf Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) di Pengkalan Chepa, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, Anthony memberitahu, van-van dari Thailand akan disekat sekiranya dibimbangi mengambil penumpang sepanjang berada di dalam negara ini.
Menurutnya, tindakan mengambil penumpang akan menjejaskan industri bas ekspres di negara ini.
“Kita telah berbincang selain mengesyorkan Kerajaan Kelantan membuat promosi termasuk membentuk kerjasama dengan ejen-ejen pelancongan di Thailand agar membawa pelancong dari negara itu melalui pakej pelancongan dengan mempunyai bas dan penginapan hotel,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE