BAGAN DATUK – Kerajaan tidak bercadang untuk mengecilkan pengendalian program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di bawah tiga kementerian sahaja berbanding di bawah 12 kementerian sekarang.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, sebaliknya menjelaskan Kabinet membuat keputusan agar Majlis TVET Negara yang dipengerusikannya, menyelaraskan semua aktiviti pendidikan bidang berkenaan.
“Ini telah dilakukan dengan baik dan saya merasakan ia (TVET di bawah 12 kementerian) biarlah berjalan dengan acuan yang ada, tetapi diselaraskan agar tidak berlaku pertindihan kursus ditawarkan dan tidak berlaku perebutan tempat untuk kursus terlibat,” ujarnya.
Presiden UMNO itu bercakap pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Tahunan UMNO Cawangan-cawangan empat peringkat dalam Bahagian Bagan Datuk 2024 di Kompleks UMNO Bagan Datuk di sini, hari ini.
Beliau mengulas saranan Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JKPK) bagi Pembinaan Negara Bangsa, Pendidikan dan Pembangunan Sumber Manusia baru-baru ini, agar program TVET yang kini dikendalikan oleh 12 kementerian dan agensi kerajaan dihadkan kepada tiga sahaja.
Menurut Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah itu, ketika ini Unit Pusat TVET telah diwujudkan bagi memudahkan permohonan memasuki semua institusi TVET itu secara dalam talian.
Beliau memaklumkan sehingga kini terdapat 1,345 institusi TVET di seluruh negara yang dipantau oleh sekretariat di bawah Majlis TVET Negara.
Bahkan, jelasnya, Malaysia Technical University Networking (MTUN) juga sudah diwujudkan bagi memastikan semua universiti teknikal di negara ini menawarkan kursus-kursus yang relevan dengan pasaran pekerjaan khususnya berkaitan pelaburan langsung asing (FDI). – KOSMO! ONLINE