KUALA NERUS – Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin berkenan merasmikan Hospital Sultan Zainal Abidin (HoSZA) yang dikendalikan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), di sini hari ini.
Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, setakat ini, HoSZA telah membuka perkhidmatan klinik perubatan A, klinik pakar dan jabatan kecemasan.
Beliau berkata, hospital tersebut juga menawarkan perkhidmatan pengimejan dengan teknologi terkini menggunakan Magnetic Resonance Imaging (MRI) 3 Tesla dan Computed Tomography (CT) 256 keping yang dapat memastikan diagnosis tepat dan rawatan efisien kepada pesakit.
“Kerajaan negeri Terengganu yakin HoSZA mampu mencapai standard kecemerlangan sebagai hospital rujukan pakar setanding dengan hospital-hospital pengajar yang telah berdiri kukuh di negara ini.
“Penubuhan HoSZA adalah satu pencapaian yang sangat penting dalam perkembangan UniSZA dengan meluaskan peranan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan,” katanya pada majlis perasmian HoSZA di sini hari ini.
Terdahulu Sultan Mizan berkenan merasmikan hospital pengajar yang mempunyai kemudahan 200 katil berkenaan. – KOSMO! ONLINE